Sebelum Oktober 2020, penduduk Simpang Renggam di Johor perlu memandu sejauh 35 kilometer jika ingin ke restoran makanan segera McDonald's terdekat, yang terletak di Kluang.
Tetapi kini, jika anda memandu dari Kluang ke Simpang Renggam, anda akan melihat papan tanda kecil memaklumkan McDonald's sejauh 15 kilometer sebelum tiba ke pekan itu.
Sementara pendidikan menjadi agenda utama Maszlee Malik, membawa jenama-jenama besar ke kawasan Parlimen itu mungkin menjadi antara pencapaian popular penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam itu.
Ia juga boleh menjadi faktor utama dalam menyekat usaha Pengerusi BN Johor Hasni Mohamad untuk merampas kerusi itu.
Beberapa pengundi yang ditemui Malaysiakini tahu bahawa pembukaan McDonald's di situ adalah kerana Maszlee, dan ia terutamanya popular dalam kalangan mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan.
Salah seorang penghantar makanan berkata rangkaian Family Mart juga antara jenama yang dibawa Maszlee ke kampung halamannya itu.
"Lebih mudah sekarang, kita tak perlu pergi jauh untuk ke McDonald's, sebelum ini yang paling dekat di Kluang," kata Aliff Ishak, 33, kepada Malaysiakini.
Maszlee mula berhubung dengan McDonald's pada 2019 selepas anak muda setempat yang ditemuinya ketika PRU14 memintanya untuk membawa rangkaian restoran itu ke Simpang Renggam - walaupun KFC dan Pizza Hut sudah ada di situ.
"Saya jumpa CEO McD Malaysia pada 2019 dan cadangkan kepadanya, selepas itu pasukan pemasaran mereka buat tinjauan dan dapati ada pasaran yang bagus di sini," kata Maszlee kepada Malaysiakini.
Dia kemudian sedar anak muda tempatan juga mahukan Family Mart dibuka di situ, dan membawa cadangan itu kepada CEO syarikat tersebut. Kedai itu mula dibuka di Simpang Renggam pada Julai lalu.
Peluang pekerjaan belia
Ketika kempen PRU15, Maszlee dan pasukannya merupakan pelanggan lazim di McDOnald's dan restoran itu juga menjadi tempat dia mengadakan wawancara dengan media.
Dia berkata rancangan seterusnya adalah untuk membawa rangkaian kafe Starbucks.
"Saya buat tinjauan dengan sejumlah pengurus dan pegawai di kilang di sini dan mereka kata perlukan tempat yang lebih sesuai untuk perbincangan. Jadi mereka cadangkan untuk bawa Starbucks," katanya.
Walaupun francais-francais ini sudah menjadi kebiasaan di bandar-bandar besar, untuk penduduk Simpang Renggam ia bukan sekadar tempat untuk makan dan minum.
Seorang penghantar makanan yang enggan dinamakan berkata, usaha Maszlee itu memberi peluang pekerjaan kepada golongan belia.
"Misalnya, pelajar lepasan SPM boleh bekerja di McDonald’s dan Starbucks.
"Simpang Renggam ini pekan kecil jadi ada kala orang perlu keluar untuk dapatkan pekerjaan. Selepas Starbucks dibuka, mungkin mereka boleh ambil 20-30 orang tempatan. Sekurang-kurangnya ada, walaupun tak banyak.
"Maszlee juga bantu penduduk yang memerlukan. Ada kala dia tak dapat beri apa yang orang mahukan secara terus, dia sekurang-kurangnya tetap akan cuba," kata pemuda berusia 37 tahun itu.
Ia merupakan hasil yang ketara dan boleh dilihat, membuatkan pemuda itu adan Aliff cenderung agar Maszlee kekal menjadi wakil rakyat di situ.
Muka baru, orang luar
Pada masa sama, mereka melihat Hasni - yang menjadi menteri besar selama hampir dua tahun - sebagai muka baru dan orang luar yang tidak lazim bagi mereka.
Malah, mereka berkata pertama kali bertemu Hasni ketika dia membuat walkabout kira-kira sejam Malaysiakini berjumpa mereka.
Seorang kawan Aliff yang juga penghantar makanan memakali lencana Ismail Sabri Yaakob yang diberikan pasukan kempen Hasni pada masa itu.
Walaupun bangga dengan pencapaiannya membawa McDonald's - ia bukanlah topik yang ingin ditumpukan Maszlee.
Ketika bercakap dengan Malaysiakini, ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) PKR itu sebaliknya ingin bercakap tentang agenda pendidikannya.
Tidak cukup dengan mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri perkhidmatan, bekas menteri pendidikan itu berkata Simpang Renggam ada banyak kawasan industri dan pertanian dan itu menjadikannya lokasi yang amat sesuai untu institut pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
"Kami mahu (institut TVET) berhubung kait dengan industri dan pertanian tempatan yang dari satu sisi akan mewujudkan ekosistem untuk pendidikan kemahiran dan juga pembangunan industri tempatan dan pertanian.
"Sejak hari pertama saya masuk politik, matlamat saya adalah untuk meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia.
"Kita bawa kolej komuniti dan Open University Malaysia ke sini. Kami merancang untuk dibina sebuah sekolah berasrama penuh, politeknik dan sebuah cawangan IPTA di sini.
"Namun malangnya bila kerajaan berubah, (rancangan untuk jadikan Simpang Renggam sebagai pusat pendidikan di Johor tengah) tidak diteruskan," katanya.
Pemimpin kontroversi
Ketika pentadbiran PH, Maszlee yang ketika itu bersama Bersatu adalah antara anggota kabinet yang paling banyak dikritik.
Dia antara lain disindir atas usahanya menggantikan penggunaan kasut putih kepada hitam, dan menjadikan kelas renang sebagi sebahagian kegiatan kokurikulum.
Dia juga dikritik masyarakat Cina selepas Kementerian Pendidikan cuba memperkenalkan khat jawi dalam sukatan mata pelajaran sekolah vernakular, serta keputusan untuk tidak mengiktiraf Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC).
Namun, kini apabila Maszlee berkata tentang pendidikan di media sosial, boleh dikatakan hampir tiada yang membangkitkan hal-hal itu.
Sentimen masyarakat Cina terhadap Maszlee nampaknya sudah semakin pulih.
Kegagalan sistem pendidikan di Malaysia
Ketika wawancara bersama BKK network, saluran Youtube berbahasa Cina, berkenaan kegagalan sistem pendidikan di Malaysia, terdapat lebih 1,000 komen yang kebanyakannya memuji Maszlee.
Ramai juga yang berkata wawancara itu telah mengubah pandangannya terhadap bekas menteri itu.
Baru-baru ini, Maszlee memuat naik video TikTok yang menunjukkan dia berbahasa Cina dengan ibunya - yang merupakan seorang Cina - dan Tamil dengan isterinya, untuk menyatakan dia adalah calon yang mengutamakan isu pendidikan.
Bagaimanapun orang bukan Melayu hanya merangkumi 40 peratus pengundi di Simpang Renggam, bermakna dia perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus pengundi Melayu untuk mengekalkan kerusi itu.
Dalam aspek inilah Maszlee, seperi ramai lagi calon PH di kawasan luar bandar, akan berdepan kesukaran.
Dia sudah pun tewas di DUN Layang-layang - yang berada di dalam kerusi Parlimen Simpang Renggam - dengan perbezaan 2,815 undi ketika PRN Johor lalu.
Namun, perlu dinyatakan bahawa pada PRN lalu, kira-kira 2,000 undi berkurang berbanding PRU 2018. Ada juga faktor Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik, yang akan meningkatkan jumlah pengundi baru dalam PRU kali ini.
Dia juga bukan saja berdepan seorang bekas menteri besar, tetapi Onn Hafiz Ghazi - yang menggantikan Hasni untuk jawatan itu - adalah Adun Machap yang terletak di Simpang Renggam.
Hasni mempunyai imej sebagai seorang pemimpin sederhana yang mampu bekerjasama dengan pembangkang.
Bercakap dengan pemberita minggu lalu, Hasni berkata dia tidak ingin memberi sebarang janji kepada pengundi tetapi yakin pengalamannya sebagai menteri besar serta ketua pembangkang sebelum itu akan dapat membantunya bagi lebih memahami bagaimana untuk membangunkan Simpang Renggam.
Mesej itu diterima baik sejumlah pengundi, antaranya pemilik kedai jahit Abdul Rahman Samadi, 60.
Najib sudah dihukum
Dia berkata tidak terlalu gembira dengan pencapaian Maszlee di penggal pertamanya sebagai ahli parlimen di situ.
"Hasni juga Adun Benut, kampung bapa saya. Benut sebelah Simpang Renggam, jadi saya yakin kebanyakan orang di sini akan kenal dia.
“Tengok Benut, sekarang lebih membangun dari Simpang Renggam, dengan jalan raya dan lampu jalan. Pokok di sana juga lebih baik dan cantik berbanding di sini.
"Hasni juga mesra dengan orang ramai, dia akan hadir acara dan kenduri jika dijemput," katanya kepada Malaysiakini.
Abdul Rahman dan seorang kawannya yang enggan dinamakan, berkata dia mengundi Maszlee pada PRU 2018 selepas marah dengan Najib Razak ekoran skandal 1MDB.
Namun, dengan Najib kini sudah dihukum penjara, ditambah rasa kecewa dengan pentadbiran PH sebelum ini, mereka berkata akan kembali menyokong BN.
"Sekarang kita boleh kembali kepada BN," kata Abdul Rahman.
Ditanya jika mereka bimbang Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang akan menjadi perdana menteri, mereka berkata ia tidak mungkin berlaku memandangkan Zahid kini berdepan perbicaraan rasuah di mahkamah.
Simpang Renggam menyaksikan persaingan empat penjuru dalam PRU kali ini. Selain Maszlee dan Hasni, dua lagi calon adalah Mohd Fazrul Kamat (PN) dan Kamal Kusmin (GTA).