Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sentimen anti-BN surut di Pontian cabaran buat calon PH

Pada 2018, “tsunami politik” yang menggulingkan ramai calon BN mencetuskan kekalahan bersejarah gabungan itu dan hampir menyaksikan Ahmad Maslan dari Umno turut dihanyutkan di Pontian, Johor.

Bagaimanapun, apabila Malaysiakini melawat Pontian beberapa hari lalu, gelombang kemarahan terhadap BN nampaknya telah menyusut.

Dan yang paling teruk bagi Pakatan Harapan (PH), hujan lebat atau banjir pada hari pilihan raya mungkin memaksa beberapa penyokong mereka untuk tinggal di rumah, seterusnya mengurangkan peluang untuk merampas kerusi marginal yang dipegang Ahmad dengan hanya 833 undi majoriti pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Seorang pengundi yang mengaku akan tidak turun mengundi jika cuaca berubah menjadi buruk ialah warga emas berusia 70 tahun yang ingin dikenali sebagai Madame Lee.

“Jika hujan pada hari pengundian, maka saya tidak akan keluar. Suami saya menghidap Parkinson, jadi ia tidak baik untuknya.

“Awak dari Malaysiakini? Saya membaca anda setiap hari, saya membaca berita setiap hari dan saya harap saya akan dapat keluar mengundi,” katanya ketika ditemui di sebuah kedai kopi tempatan.

Sentimen dan faktor luaran seperti itu boleh menenggelamkan sasaran PH Johor untuk sekurang-kurangnya 75 peratus keluar mengundi.

Tetapi bagi calon DAP Pontian Shazwan Zdainal Abidin - ia adalah sesuatu yang di luar kawalan mana-mana parti politik.

“Kita tidak boleh memaksa orang ramai keluar mengundi. Tetapi sekurang-kurangnya kita boleh mencuba yang terbaik untuk menggalakkan mereka,” kata anak jati Batu Pahat itu dalam temu bual pada hari keenam kempen PRU ke-15.

Calon PH Pontian Shazwan Zdainal Abidin

Pontian adalah satu daripada tiga kerusi majoriti Melayu di Johor di mana PH akan meletakkan calon Melayu, selepas persetujuan saat-saat akhir dicapai dengan PKR - yang memberikan Shazwan kurang 24 jam untuk menerima cabaran itu.

Shazwan, seorang kakitangan di pusat khidmat Adun Penggaram DAP Gan Peck Cheng, berkata dia pada mulanya bersiap sedia untuk membantu calon-calon DAP PRU15 yang lain, khususnya Timbalan Pengerusi DAP Johor Sheikh Omar Bagharib Ali di Ayer Hitam.

“Jadi apabila saya dimaklumkan bahawa saya telah dipilih oleh parti sebagai calon, saya tidak tahu apa yang hendak diberitahu kepadanya (Sheikh Omar),” katanya.

Pertukaran kerusi saat akhir nampaknya telah menghalang kempen PH di Pontian, di mana terdapat sedikit ceramah atau bendera parti dilihat di kawasan itu yang meliputi dua kerusi DUN - Pulai Sebatang dan Benut - dipegang oleh Hasrunizah Hassan dari BN dan Ketua BN Johor Hasni Mohammad.

Shazwan mengakui bahawa kelesuan pengundi sejak sebelum pilihan raya negeri (PRN) Mac juga telah menjejaskan sokongan terhadap kempen PH.

Meskipun dia tidak melihat gelombang perubahan yang besar seperti pada 2018 - calon PH itu berkata situasi politik yang lebih tenang tidak bermakna Ahmad dari BN selamat.

“Untuk PRU ini saya tidak rasa (sama) gelombang menolak BN (secara keseluruhan) tetapi ada gelombang belia mahu melihat perubahan dan memberi peluang kepada calon muda.

“Sekarang di Pontian kita mempunyai gelombang lebih kecil. Pontian ada permainannya yang tersendiri. Ada naratif menolak Ahmad.

"Saya diberitahu ada sebilangan penyokong Umno yang tidak mahu dia," katanya.

Pada usia 38 tahun, Shazwan adalah yang termuda dalam kalangan empat calon di Pontian, dan melihat dirinya sebagai penerima sentimen pengundi yang mahukan calon belia.

Daripada 75,212 pengundi berdaftar di kawasan itu, 47.91 peratus berumur di bawah 40 tahun - dan PH berharap pengundi yang tinggal di luar Pontian pulang pada 19 Nov untuk mengundi.

“Kami mempunyai beberapa cara untuk meyakinkan belia untuk kembali mengundi, dan kami sudah melakukannya.

“Ini baru minggu pertama berkempen, InsyaAllah menjelang minggu kedua kita akan lihat sambutan yang lebih baik,” katanya.

Shazwan berkata pengundi muda Pontian terdiri daripada sebilangan besar "pengundi atas pagar" yang mungkin tidak dekat dengan sentimen "anti-DAP" yang disebarkan oleh lawan parti itu daripada BN, PN dan lain-lain, termasuk semasa kempen PRU15.

Calon BN Pontian Ahmad Maslan.

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dan pemimpin tertinggi gabungan itu termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang, antara lain, telah berulang kali mendakwa hubungan ‘komunis’ DAP dan cubaan untuk menjejaskan peruntukan perlembagaan mengenai hak orang Melayu dan Islam.

Abdul Hadi turut melahirkan kebimbangan terhadap lebih ramai calon Melayu yang bertanding atas tiket DAP pada PRU ini, dengan menyatakan kebimbangan mereka digunakan untuk memenangi undi Melayu-Islam.

Sementara itu, calon perdana menteri BN Ismail Sabri Yaakob berkata pengundi tidak boleh terpedaya dengan calon Melayu DAP.

Bagi Shazwan, ia adalah cabaran yang dialu-alukan, sambil menambah bahawa meletakkan dia di kerusi seperti Pontian dan bukannya kerusi selamat boleh membantu melemahkan naratif palsu bahawa "Melayu menolak DAP".

“Jika saya boleh menang di sini, itu membuktikan bagaimana calon Melayu DAP boleh menang di kerusi majoriti Melayu. Sekiranya saya bertanding di kawasan yang dikuasai Cina, maka naratif ini tidak akan pernah berakhir,” katanya.

Selain Shazwan dan Sheikh Omar, DAP Johor meletakkan Fatin Zulaikha Zaidi yang berusia 29 tahun di Mersing - menentang BN, PN, Pejuang dan seorang calon bebas di kubu kuat Umno.

Di Pontian, Shazwan juga akan berdepan calon PN Isa Abdul Hamid, dan calon Pejuang Jamaluddin Mohamad.

BN yakin, bagaimanapun, ia boleh mengekalkan Pontian malah menjadi lebih kuat.

Sebelum ini, Adun Pulai Sebatang Hasrunizah berkata rekod prestasi Ahmad sebagai ahli parlimen tiga penggal sudah cukup untuk mengekalkan kerusi itu sebagai kerusi "putih" (yakin menang) BN, selain meneruskan momentum yang menyaksikan BN membentuk kerajaan negeri Johor dengan 40 daripada 56 kerusi.

Kemenangan utama BN dalam PRN Mac adalah dengan hanya memenangi 43 peratus undi popular.

Dan sementara jumlah peratusan keluar mengundi dalam PRN hampir sama seperti pada 2018 - sekitar 1.5 juta - Pontian adalah salah satu daripada beberapa kawasan pilihan raya selatan yang kurang undi dibuang,

Di Pulai Sebatang, terdapat sekitar 3,600 kurang undi pada Mac berbanding 2018, manakala jumlah undi di Benut hampir sama pada kedua-dua pilihan raya.

Ini tidak mengambil kira pertambahan hampir 20,000 pengundi yang didaftarkan selepas PRU ke-14 dan juga disebabkan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik.

Walau bagaimanapun, tiada jaminan bahawa mereka yang berdaftar secara automatik akan hadir untuk mengundi, atau akan tinggal di rumah kerana tidak berminat dalam proses politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS