Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mampukah anak Paul Yong, calon DAP keluar dari bayangan pendahulunya?

Hujan yang turun di atas bumbung rumah kedai lama kedengaran di seluruh Kampung Baru Gunung Hijau pada petang Selasa.

Ketika penulis ini mencari perlindungan di hadapan sebuah kedai perkakasan yang berlampu malap yang terletak di salah satu jalan di kawasan Tronoh, penulis disertai pemilik kedai yang sudah berumur.

Warga tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Uncle Loh mengambil tempat duduk di kerusi rotannya sambil menyalakan rokok.

“Yang Zuqiang (nama Paul Yong dalam sebutan Cina)?” dia bertanya - sambil menunjukkan sepanduk usang penyandang parlimen Tronoh yang kontroversial yang tergantung di hadapan kedai bertentangan.

“Tidak banyak pembangunan di sini sejak 10 tahun lalu. Tiada apa.

"Mereka hanya membina beberapa rumah dan bumbung untuk gelanggang bola keranjang berhampiran, itu sahaja," katanya.

Ditanya sama ada dia akan turun mengundi pada 19 Nov memandangkan terdapat barisan calon baru kali ini, lelaki berusia 70 tahun itu menarik nafas panjang dan menyindir, "Tengok nanti macam mana. Langit akan tentutkan.

“Kalau hujan, itu bukan urusan saya. Saya tidak kisah siapa yang menang,” katanya sebelum meminta diri dan beredar untuk melayan pelanggannya.

Meskipun mengambil cuti sabatikal berikutan sabitan atas kesalahan merogol di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Julai, Paul Yong yang merupakan bekas ahli DAP dilihat masih membayangi saingan enam penjuru di bandar Tronoh yang sepi pada pilihan raya umum (PRU) ini.

Penulis tidak dapat mengelak daripada memikirkan bagaimana dua calon khususnya - yang pernah berkongsi parti DAP dan seorang lagi calon yang merupakan, anak Paul Yong sendiri - keluar dari bayang-bayang Yong dan mencipta nama untuk pilihan raya ini.

Penulis kemudian ke pusat bandar untuk bertemu Bryan Yong, anak lelaki Paul Yong, di mana dia berkongsi cabaran yang dihadapi, serta visinya untuk membela bapanya.

Walaupun diturunkan saat-saat akhir untuk mempertahankan kerusi Yong, Bryan, yang memakai baju putih dan seluar hitam kelihatan tenang.

Bryan Yong

Mempunyai paras wajah yang ada iras bapanya, lelaki berusia 25 tahun itu mungkin dilihat sebagai budak mentah dalam politik.

Namun, Bryan mendedahkan bahawa dia telah terjun ke dunia politik sejak kecil kerana pengaruh bapanya.

“Saya sangat meminati politik sejak kecil. Saya sangat terpengaruh dengan politik, terutama parti tertentu,” katanya ketawa, secara tidak langsung merujuk kepada DAP, bekas parti bapanya selama 16 tahun.

“Ada satu tempoh di mana saya kehilangan semangat saya. Tetapi kini, ia telah dihidupkan semula.

“Ini adalah apabila penduduk Tronoh mendekati saya selepas bapa saya menyatakan hasrat untuk tidak bertanding kerusi DUN lagi,” katanya kepada Malaysiakini dalam satu wawancara eksklusif.

Paul adalah Adun DAP selama dua penggal dan bekas Exco Perak antara 2018 dan 2020.

Bagaimanapun, karier politiknya terjejas pada 2019 apabila dia dituduh merogol pembantu rumahnya.

Pada 27 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati dia bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan. Dia sedang merayu keputusan itu.

Bryan, yang bertanding di bawah panji Parti Bangsa Malaysia (PBM), berkata penduduk tempatan menyedari sumbangan bapanya dan berharap agar dia terus berkhidmat kepada rakyat.

“Bapa saya telah menyelesaikan banyak masalah untuk rakyat dan dia telah membangunkan infrastruktur di sini. Sebagai contoh, dewan serbaguna dan gelanggang bola keranjang.

“Dia telah menjalankan tugasnya untuk berkhidmat kepada rakyat di Tronoh,” kata graduan undang-undang dari Universiti East Anglia itu.

Tidak hidup dalam bayang-bayang bapa

Sambil mengakui "populariti" Yong, Bryan menegaskan bahawa dia tidak hidup dalam bayang-bayang bapanya.

“Saya sangat bertuah dan berterima kasih kepada bapa saya, pasukannya dan penduduk Tronoh.

“Saya tidak akan berada di sini atau berpeluang melakukan ini sama sekali, sama ada menang atau kalah, jika bukan kerana bapa saya.

"Tetapi saya tidak fikir saya berada dalam bayang-bayang bapa saya. Malah, saya rasa saya seorang pemimpin yang sangat baik.”

Bran Yong (kanan) dan bapanya, Paul Yong.

Anak muda kelahiran Sitiawan, Ipoh itu berkata dia akan menawarkan sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan pengundi sejak 10 tahun lalu di bawah pengawasan Yong.

Menonjolkan sumbangan bapanya terhadap aspek budaya bandar kecil yang terletak kira-kira 30km di selatan Ipoh, usahawan itu berkata dia boleh melakukan lebih baik.

“Saya akan memberi tumpuan untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan institusi pendidikan yang lebih baik serta akademi untuk rakyat,” tegas alumni Sekolah Antarabangsa Tenby itu.

"Mungkin membangunkan bandar ini sedikit lagi dari segi tarikan pelancong supaya kita boleh mendapatkan lebih banyak syarikat untuk melabur di sini," tambahnya.

Pada 9 Mac 2020, Yong mengumumkan bahawa dia meninggalkan DAP untuk menjadi calon bebas berikutan kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) pada 2020.

Pada Mac tahun lalu, dia menyertai Bersatu. Bagaimanapun, tidak lama selepas menyertai parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu dia kemudiannya berpaling tadah dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Yong sejak itu memperoleh reputasi sebagai "katak" atau pelompat parti.

Ditanya sama ada label "pengkhianat" dan kes mahkamah bapanya akan menjejaskan reputasi dan usaha kempennya, nampaknya Bryan sedikit terkejut tetapi cepat menepis dakwaan tersebut.

“Ya, dia memang menukar partinya dan itu tidak dapat dinafikan. Tetapi dia tidak menyebabkan keruntuhan kerajaan PH di Perak.

“Prosiding mahkamah telah dilaporkan dalam berita, dengan semua saksi dan keterangan.

“Saya rasa bukti itu sangat kukuh kepada kami dan saya percaya ramai yang beranggapan ia agenda politik. Saya tidak fikir dua kes ini akan menjejaskan reputasi saya,” katanya.

DUN Tronoh akan menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan Bryan, Steven Tiw (PH), Sin Koon Yen (PN), Leong Chee Wai (BN), Roslan Ismail (GTA), dan calon bebas Meor Shahimudin Hasim.

Politik perubahan baru

Sementara itu, hanya 10 minit pemanduan dari pusat bandar, terletak pusat operasi PH Tronoh di mana Steven Tiw – calon termuda DAP di Perak dan pengganti Yong di kerusi DUN – sedang melayan pertanyaan pengundi ketika penulis tiba.

Sama seperti Bryan, Tiw juga seorang yang agak baru dalam bidang politik tetapi tidak berlebihan untuk mengatakan bahawa Tiw mempunyai kelebihan sedikit kerana dia pernah menjadi setiausaha politik penyandang Ipoh Timor Wong Kah Woh selama empat tahun.

Walaupun membuat penampilan sulung pilihan raya dan terpaksa menentang Bryan, yang berada di bawah bimbingan bekas seniornya dalam DAP, Tiw tetap tidak goyah.

“Pada masa ini, saya ingin mengekalkan peluang kemenangan saya pada 70 peratus.

Calon Tronoh PH Steven Tiw

“Berbanding Bryan, saya mempunyai lebih banyak pengalaman politik dan sokongan akar umbi yang lebih baik terutama daripada ahli DAP tempatan di sini.

“Saya mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli dari 11 cawangan DAP di Tronoh dan mereka berikrar sokongan penuh untuk menjalankan kempen bersama-sama,” kata setiausaha sayap Pemuda DAP Perak itu kepada Malaysiakini.

Walaupun enggan dibandingkan dengan Yong, Tiw berkata tidak dapat dinafikan bahawa Yong telah menunaikan kewajipannya kepada pengundi – tetapi di bawah kapasiti seorang ahli parlimen DAP.

Dia menegaskan bahawa tiada banyak yang telah dilakukan sejak Yong keluar daripada DAP selepas kejatuhan kerajaan PH pada 2020.

Justeru, graduan pengurusan berusia 29 tahun itu berikrar akan menggunakan masa muda dan tenaga untuk berkhidmat kepada rakyat jika terpilih.

“Ini semua tentang menjadi muda, dinamik dan progresif.

“Penghijrahan sumber pakar sentiasa menjadi isu serius di mana penduduk tempatan terpaksa ke bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Singapura untuk bekerja. Saya akan mencari cara untuk mengekalkan bakat kami.

“Isu-isu lain yang berkaitan dengan petani dan pembangunan juga perlu ditangani. Saya akan membawa politik baru ke Tronoh,” katanya.

Sementara itu, pemerhatian Malaysiakini mendapati pengundi di lapangan mempunyai sentimen bercampur terhadap prestasi Yong sejak dipilih pada 2013.

Seorang tukang kunci, yang enggan dikenali berkongsi sentimen Uncle Loh.

Lelaki tua itu, yang dilahirkan dan dibesarkan di Tronoh, berkata dia tidak melihat banyak pembangunan di bandar kecil itu sejak Yong memegang jawatan.

“Saya hanya melihatnya di Tronoh sekali sahaja. Saya tidak perasan apa-apa perkembangan yang dia katakan.

“Tetapi… dia berada dalam situasi yang sukar dengan kes mahkamahnya, bukan? Siapa tahu apa yang sebenarnya berlaku?

"Apa yang saya harapkan ialah perubahan dalam kerajaan," kata lelaki itu.

Lee, pemilik kedai buah-buahan di Kampung Peti Baru, berkata adalah tidak adil untuk mengaitkan prestasi Yong sebagai Adun dengan urusan peribadinya.

“Bumbung di atas gelanggang bola keranjang tidak akan dipasang sendiri.

“Ada juga sebuah tadika baru di SJK (C) Yit Chee yang dinamakan sempena namanya yang akan dibuka tahun depan.

"Jika dia tidak menyumbang kepada masyarakat, dia tidak akan diundi selama dua penggal," katanya.

Ketika bersiap meninggalkan Tronoh untuk kembali ke Ipoh, penulis berharap hujan akan berlalu dan matahari menyinari bandar kecil itu sekali lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS