Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zuraida yakin jenamanya mampu atasi populariti logo PH di Ampang

Lebih dua tahun lalu, Zuraida Kamaruddin merakam video bersama penyokongnya mengucapkan selamat tinggal dengan wajah yang gembira selepas dipecat daripada PKR.

Zuraida kemudian menyertai Bersatu sebelum menubuhkan partinya sendiri, Parti Bangsa Malaysia (PBM), yang akan menjadi platformnya untuk mempertahankan kerusi parlimen Ampang pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Penyandang tiga penggal di Ampang itu mempunyai jenama tersendiri di kawasan yang diwakilinya, namun kemenangan besarnya pada PRU lalu masih dikaitkan dengan logo Pakatan Harapan (PH) yang digunakannya ketika itu.

Pada 19 Nov ini, Zuraida perlu mempertahankan kerusinya sebagai calon PBM, menentang bekas timbalannya dalam sayap wanita PKR, Rodziah Ismail yang akan menggunakan logo PH.

Persoalannya, mampukah jenama Zuraida memenangi hati pengundi, melangkaui logo parti yang diwakilinya?

Menurut pengarah eksekutif badan pemikir Ilham Centre Hisomuddin Bakar, pengundi di Ampang merupakan pengundi yang mengikuti perkembangan semasa politik.

Kata Hisomuddin, ini termasuklah Langkah Sheraton, yang turut melibatkan Zuraida sebagai salah satu watak utama dalam percaturan politik itu.

“Jadi ini adalah sukar untuk beliau (Zuraida) menangkis tohmahan ataupun persepsi yang tertanam kepada pengundi di sini yang menyatakan bahawa dialah antara individu yang mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat terdahulu kepada PH,” katanya kepada Malaysiakini.

Hisomuddin Bakar

Tambahnya, pertembungan antara Rodziah dan Zuraida juga lebih menjurus kepada menguji kekuatan calon dan kekuatan sokongan parti yang memberi kelebihan kepada PH yang sebelum ini mendapat sokongan daripada pengundi bukan Melayu yang tinggi terutamanya pengundi Cina.

Pada PRU ke-14, Zuraida yang menang selesa dengan majoriti 41,956 undi dalam pertembungan empat penjuru selepas menewaskan Leong Kim Soon dari MCA (12,351), Nurul Islam Mohamed Yusoff dari PAS (9,598) dan Tan Hua Meng dari PRM (294).

Pada PRU itu, di Ampang, pengundi Melayu terdiri daripada 56 peratus, Cina 35 peratus, India sembilan peratus dan lain-lain satu peratus.

Rodziah Ismail (tengah)

Rodziah yang merupakan Adun Batu Tiga dilihat sebagai pencabar terdekat Zuraida pada PRU kali ini.

Meskipun berkhidmat di Selangor bagi kerusi peringkat negeri, jentera kempen PKR masih perlu mengambil inisiatif memperkenalkan Rodziah kepada pengundi, termasuklah membawa jurucakap Mandarin ketika program ‘walkabout’.

Rodziah turut diberi nama cina, ‘Luo Shi Ya’ yang bermaksud berpengetahuan dan elegan, yang juga kedengaran seakan namanya - supaya komuniti Cina di situ berasa lebih dekat dengannya sebagai muka baru.

Ini berbeza dengan Zuraida yang pernah menyandang jawatan menteri di ketiga-tiga pentadbiran yang berbeza sepanjang empat tahun, yang merasakan namanya sudah bertapak lebih kukuh di kalangan pengundi Ampang.

Zuraida Kamaruddin (tengah)

“Orang Ampang kenal saya, tengok nama Zuraida selalunya tak ingat logo pun. Sebab itu saya kata Zuraida itu sudah menjadi jenama di Ampang, jadi saya gunakan jenama saya sebagai ahli parlimen dan menteri,” katanya.

Zuraida merupakan menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri. Ketika bersama PH, dia merupakan menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Hanya tumpang jenama

Mengulas populariti Zuraida, Rodziah berkata bekas menteri itu hanya menumpang di atas tiket PH-PKR.

“Jenama itu dia ambil ataupun dia tumpang di bawah Keadilan (PKR). Orang marah dengan dia sekarang sebab dia mendukung parti Keadilan pada ketika itu,” katanya.

“Memang kita tak nafikan beliau tiga penggal, beliau ada usaha-usaha turun padang yang dia buat, itu kita tak nafikan.

“Tapi ada satu perkara yang dia lupa, dengan jenama itu juga sebenarnya dia dah khianati, dia dah khianati jenama itu, dan dengan itu orang menolak individu itu,” katanya.

Biarpun bendera PBM yang berwarna ungu terang berkibar di banyak tempat sekitar Ampang, tetapi ia sukar untuk membuatkan orang ramai kenal dengan parti itu.

Tinjauan Malaysiakini bersama beberapa pengundi di Ampang turut menyokong pemerhatian Ilham Centre yang melihat Zuraida sebagai orang lama yang lebih dikenali penduduk setempat, walaupun tidak dapat mengingat dengan mudah nama parti barunya itu.

“Saya tahu dia tak dengan PH, dia ada parti baru Parti Barisan Malaysia?” kata seorang tukang urut yang hanya ingin dikenali sebagai kak Lin,dalam nada ragu, apabila ditanya sama ada dia tahu nama parti diwakili Zuraida.

Danial Zafri

Danial Zafri, 26, yang turut tidak yakin dengan nama penuh PBM pula berkata walaupun Zuraida belum dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang selepas tiga penggal berkhidmat, dia inginkan muka lama mewakili Ampang kerana lebih memahami selok belok dan masalah penduduk di situ.

“Sekarang ni kalau kat Ampang semua muka baru. Kenal Zuraida saja, (dan) calon PH.

“Kalau muka baru kena tengok dulu.. kalau dia dah pegang tempat lain, dah bawa dengan baik tempat dia, saya rasa penerimaan akan okey kalau dia bertanding di tempat saya,” katanya yang bakal mengundi di situ buat kali kedua.

Seorang warga emas yang hanya ingin dikenali sebagai Yap, 76, dengan berterus terang berkata undinya kepada PH, sambil menunjukkan bendera PH di hadapannya ketika program ‘Jelajah Ehsan Rakyat’ di gelanggang bola keranjang NAYC.

“Saya akan vote dia, saya akan vote orang baru. Zuraida dulu orang PH, sekarang orang mana boleh suka dia, dulu bolehlah.

“Tapi muka dia dua-dua macam sama. Saya ingat bendera dan (calon) nombor satu saja,” katanya yang menuding jari antara poster wajah Rodziah dan Zuraida di kawasan tersebut.

Calon Pejuang mampu jadi penentu

Menyifatkan ia sebagai kerusi panas dengan persaingan yang sengit, Hisomuddin berkata ini kerana pola pengundian di Ampang lebih menjurus atas faktor calon dan faktor parti menjadi kedudukan di peringkat sekunder pada penilaian pengundi.

“Jadi, di sini lebih bergantung bagaimana Zuraida menggunakan pengaruh tiga penggal sudah berkhidmat di sini untuk mengekalkan populariti beliau, atau menguji populariti beliau berdepan dengan kekuatan parti - sokongan berdasarkan parti kepada Rodziah Ismail daripada PH,” katanya.

Dr Nurul Ashikin Mabahwi

Namun, Hisomuddin mengingatkan aura Dr Nurul Ashikin Mabahwi dari Pejuang tidak boleh dipandang enteng memandangkan pemegang Ijazah doktor falsafah (Phd) Sistem Alam Sekitar dari Institusi Teknologi Shibura, Jepun yang mahu dikenali sebagai ‘Dr Banjir’ itu mampu mencuri undi Melayu yang dimiliki oleh PH sebelum ini.

“Itu perkara yang mungkin boleh juga memberikan sedikit kelebihan kepada Zuraida, cuba mengimbangi pengaruh yang terlalu dominan, yang dimiliki oleh PH di kawasan Ampang,” katanya.

Selain Rodziah dan Zuraida, Ampang menyaksikan pertembungan sembilan penjuru, iaitu Ivone Low Yi Wen (BN), Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang), Lai Wai Chong (Warisan), Sasha Lyna Abdul Latif (PN), M. Raveendran (Bebas), Muhammad Shafiq Izwan Mohd. Yunos (Bebas) dan Tan Hua Meng (Bebas).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS