Penyandang kerusi parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata dia sanggup menghentikan kempennya, dan pada hari ini memutuskan untuk menukar semua pondok jentera PH di kawasan itu menjadi pusat bantuan banjir.
"Kita beli semua kelengkapan water boots, vest keselamatan, bekalan air minum, makanan kering, siap sedia untuk hantar dengan segera ke kawasan yang terkesan.
"Saya dah kata dari hari pertama kempen saya tak akan belanja besar boros beli ribuan bendera dan buat billboard besar agar wang itu boleh guna untuk bantu rakyat susah.
"Satu billboard pun kita tak ada di sini. Keputusan itu terbukti betul, dengan keadaan banjir, kini wang dan sumber kempen saya akan ditumpukan untuk misi bantuan banjir," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Menurut calon DAP itu, dia menghentikan aktiviti kempennya semalam untuk menumpukan kerja-kerja membantu mangsa banjir.
"Berapa ramai dah bagi amaran kat kerajaan ini suruh jangan buat PRU masa musim bah. Kerajaan berdegil. Demi kuasa dia buat juga tak dengar amaran. Sekarang hujan lebat, banyak tempat dinaiki air.
"Siapa susah? Rakyat susah, pegawai kerajaan susah. Pegawai kerajaan kena buat tiga kerja.
“Kerja asal depa, kemudian kerja PRU dan sekarang ni kerja bantuan banjir," katanya lagi.
Sementara itu, Sim memohon maaf kepada pengundi sebab terpaksa mengurangkan kempen dalam persediaan membantu mangsa banjir.
Beberapa kawasan di Bukit Mertajam dinaiki air susulan hujan lebat sejak semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Pulau Pinang dan Melaka terus mencatat peningkatan petang tadi, sementara Kedah dan Selangor merekodkan penurunan, manakala Johor tidak berubah.
Di Pulau Pinang, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 160 orang berbanding 117 orang pagi tadi, yang ditempatkan di tiga PPS setakat pukul 2 petang.
Setakat laporan petang tadi, lebih 1,800 mangsa banjir dilaporkan dipindahkan ke PPS di Semenanjung.