Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis kesan 432 ceramah tanpa permit semalam, dua individu ditahan
Diterbitkan:  Nov 12, 2022 5:29 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penganjuran 432 ceramah politik tanpa permit sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam berbanding 46 ceramah pada Khamis.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata Sabah menjadi negeri tertinggi merekodkan jumlah ceramah tanpa permit sebanyak 425, diikuti Selangor (tiga), Kelantan (dua) serta masing-masing satu di Perlis dan Pahang.

Beliau berkata polis mengeluarkan 1,037 permit mengadakan ceramah sepanjang kempen PRU15 semalam iaitu sebanyak 137 di Kedah, Negeri Sembilan (172), Perak (155), Selangor (147), Pahang (131), Kelantan (98), Melaka (54), Sarawak (44), Pulau Pinang (22), Perlis (21) dan Kuala Lumpur (20).

“Kita turut membuka 14 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan antaranya menghasut, ugutan jenayah, merosakkan bendera dan papan tanda milik parti politik serta calon semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan terkawal

Hazani yang juga Pengarah Operasi PRU15 PDRM berkata ia membabitkan siasatan tiga kes di Melaka, Kedah (dua), Negeri Sembilan (dua), Johor (dua) serta masing-masing satu kes di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Sarawak.

Beliau berkata dua individu turut ditahan di Perak dan Terengganu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 dan 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.

Di George Town, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Noor berkata pihaknya telah menerima 26 laporan jenayah dan kesalahan serta membuka 10 kertas siasatan dan satu Kertas Enkuiri Polis sepanjang kempen PRU15 setakat ini.

Beliau berkata berbanding dengan pilihan raya yang diadakan sebelum ini, jumlah tersebut adalah jauh lebih rendah.

“Barangkali mood (suasana) itu belum dirasakan lagi, jadi keadaan adalah sangat terkawal...ini sesuatu yang baik,” katanya selepas menghadiri program libat urus bersama masyarakat di Pasar Desa Mayang, Bukit Gedung hari ini.

Mohd Shuhaily berkata antara kertas siasatan yang dibuka adalah mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat), Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mencederakan), Seksyen 324 Kanun Keseksaan (serang dan mencederakan), Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar rangkaian komunikasi).

Beliau juga berkata sejak 5 Nov lepas sehingga hari ini, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 232 permit kepada semua parti politik dan calon Bebas yang ingin mengadakan ceramah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS