Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Umno: Ahli mula terima calon luar di Arau, Padang Besar

Isu penolakan ahli Umno terhadap dua muka baru mewakili BN di kerusi Parlimen Padang Besar dan Arau pada PRU15 reda apabila mereka mula diterima oleh sebahagian besar ahli parti.

BN memilih Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan bagi kerusi Parlimen Padang Besar dan tokoh korporat Rozabil Abd Rahman di kerusi Arau, kedua-duanya dianggap ahli Umno di dua kawasan Parlimen itu sebagai ‘calon luar’.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Padang Besar Azizan Sulaiman berkata hampir separuh daripada ahli Umno telah mula menerima Zahida sebagai bakal pemimpin baru mereka menggantikan Zahidi yang kini bertanding sebagai calon Bebas di kawasan Parlimen itu dan kerusi DUN Titi Tinggi.

“Zahida menghadapi kekangan untuk turun padang kerana masih dalam tempoh idah setelah kematian suami, namun kita di peringkat jentera BN Padang Besar telah melakukan kempen untuk Zahida apabila menggerakkan kira-kira 1,000 jentera bagi membantunya sehingga hari mengundi 19 Nov nanti,” katanya kepada Bernama hari ini.

Azizan berkata selain menggunakan pendekatan kempen menerusi media sosial, pihak Jalinan Rakyat Wanita Umno Bahagian Padang Besar turut membuat panggilan video kepada Zahida apabila turun padang bagi membolehkan pengundi melakukan komunikasi dua hala dengan calon mereka.

“Alhamdulillah usaha ini mendapat sambutan baik daripada semua lapisan masyarakat dan kita akan teruskan kerana impaknya amat besar,” katanya.

Sementara itu, Rozabil yang mesra dengan panggilan ‘Tok Ben’ oleh penduduk setempat berkata dia menggunakan pendekatan turun padang bertemu seramai mungkin masyarakat Arau sebagai ‘salam perkenalan’ mendekati pengundi.

“Calon lain mungkin ramai orang sudah kenal, namun saya walaupun pernah memegang jawatan dalam Umno Perlis dan Malaysia tetapi penglibatan dengan masyarakat agak kurang pada masa itu… Alhamdulillah daripada kempen selama seminggu ini , nampak respons semakin bagus,” katanya.

Rozabil sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan penting iaitu sebagai Ketua Pemuda Umno Perlis (2008), Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Perlis (Datuk Seri Shahidan Kassim) pada 2006 hingga 2008 dan Bendahari Pemuda Umno Malaysia (2009).

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS