Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim menempelak Ismail Sabri Yaakob kerana menyuruhnya meminta maaf kepada tentera.
Sebaliknya, kata Anwar, perdana menteri sementara itu yang sepatutnya meminta maaf kepada tentera.
“Saya kata ada tentera diberi RM300 dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) kena pastikan perkara itu tidak boleh berlaku, saya ada bukti.
“Dia (Ismail Sabri) jawab Anwar kena minta maaf dengan tentera, ini Mail (Ismail Sabri) yang kena minta maaf dengan tentera itu kamu, kerana kapal tak siap, kapal terbang helikopter tak sampai, wang untuk tentera itu disonglap dan disakau, kamu (Ismail Sabri) yang mesti minta maaf,” katanya.
Presiden PKR itu berkata demikian ketika berucap pada program ‘Jelajah Presiden’ di Kuantan, Pahang, malam tadi.
Ucapan itu merujuk kepada kenyataan Ismail Sabri petang semalam meminta Anwar menarik balik dakwaan bahawa anggota tentera di Bera dibayar RM300 untuk pengundian awal.
Kata Ismail, dakwaan dibuat Anwar mencemarkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menghina anggota tentera bukan hanya di Bera, malah di seluruh negara.
“Tuduhan mengatakan tentera dibayar ini tuduhan jahat. Jangan hina anggota tentera. Saya minta Anwar tarik balik tuduhan tersebut dan minta maaf, bukan pada saya tetapi kepada anggota tentera kerana tuduh mereka terima wang dan sebagainya,” kata Ismail Sabri dalam sidang media di Bera, Pahang petang semalam.
Anwar dalam satu majlis di Kuala Nerus, Terengganu pagi semalam mendakwa berlaku pengundian awal membabitkan tentera di Bera, Pahang.
Dia mendakwa anggota tentera berkenaan dibayar selain menegaskan mempunyai bukti kukuh mengenai perkara itu.
"Saya menerima maklumat sahih contoh undi dari satu tempat yang saya tak boleh umumkan untuk tentera di Bera yang dibayar RM300.
"Soalnya mengapa dan bagaimana SPR boleh izinkan kalau mereka tahu undi awal yang sepatutnya 15 November.
"Bagaimana (undi awal) boleh dijalankan hari ini, saya bimbang kerana unsur wang, unsur tekanan (dan) unsur penipuan yang berlaku kerana ada bukti," katanya.
Tiada rundingan dengan parti lain
Sementara itu, Anwar ketika berucap pada majlis berkenaan turut mengulangi pendirian PH untuk tidak bergabung dengan mana-mana parti lain selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Saya bincang dengan Anthony Loke (setiausaha agung DAP), dengan Mat Sabu (Mohamad Sabu-presiden Amanah), pilihan raya ini kita pergi ‘all out’... ingat senang ke? Nak serah suka-suka kat Umno, kita kerja tiga-tiga parti kita- Keadilan (PKR), Amanah, DAP, bukan untuk runding dengan orang lain,” tegasnya.
Anwar turut menafikan dakwaan kononnya jika PH menjadi kerajaan, DAP akan menguasai kerajaan.
“Kita ini seolah tidak ada pilihan, kalau masalah Anwar ini DAP dan DAP ini cina komunis, jadi bahaya orang Melayu tak ada masa depan, hilang kita, habis martabat agama dan bangsa dan budaya kita.
“Dok kena tipu gitulah kita, tak betul. Saudara ingat saya bodoh, saya nak khianat bangsa saya sendiri, masuk penjara keluar penjara, orang ugut orang tangkap saya tak peduli, nak bagi duit saya tak pakai kerana saya nak jaga prinsip ini,” katanya.
Terdahulu ketika program sama di Indera Mahkota, Anwar mengingatkan pengundi kawasan itu tidak memberikan walau satu undi kepada penyandang kerusi parlimen berkenaan.
"Ini kerusi pengkhianat, saya minta supaya orang ini tidak menerima undi dari anda, tidak menerima satu undi pun daripada orang Indera Mahkota," katanya.
Kerusi itu disandang Saifuddin Abdullah yang menang dengan tiket PH pada pilihan raya umum lalu.
Saifuddin bersama beberapa lagi ahli parlimen PKR menyertai Bersatu melalui 'Langkah Sheraton' pada Februari 2020 yang menyaksikan kerajaan 22 bulan PH terkubur.