Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rapid Rail pastikan sistem stabil, selamat sebelum operasi semula

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan memastikan kestabilan serta keselamatan sistem kawalan tren automatik (ATC), sebelum membuat keputusan membuka Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya sepenuhnya, lebih awal daripada yang dijadualkan.

Rapid Rail selaku operator perkhidmatan LRT, Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel di Lembah Klang juga memaklumkan, pembukaan laluan itu kepada orang ramai turut tertakluk kepada penilaian dan kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), selain ujian-ujian yang dijalankan berjaya tanpa menunjukkan sebarang gangguan sistem.

Presiden dan CEO Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Mohd Azharuddin Mat Sah berkata setakat hari ini, pihak Rapid Rail telah menjalankan beberapa ujian sistem dan pergerakan tren bagi menilai kestabilan dengan hasil ujian awal menunjukkan petanda positif.

“Namun begitu, kami tetap akan melaksanakan beberapa ujian lagi, bagi memastikan ia stabil dan mematuhi piawaian keselamatan kami sebelum menyambung operasi, kerana keselamatan pengguna sentiasa menjadi keutamaan.

“Saya yakin dengan kebolehan pihak Rapid Rail dalam menangani masalah ini. Semenjak gangguan sistem dikesan, siasatan diagnostik awal dan penukaran komponen sistem ATC telah dilakukan oleh pakar teknikal dan pasukan kejuruteraan dalaman yang terlatih, bersama-sama dengan pihak OEM (pengeluar peralatan asal), selaku pengeluar sistem tersebut,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Rapid Rail, hari ini.

Ujian terhadap sistem tersebut dilakukan pasukan kejuruteraan Rapid Rail bersama pihak OEM Thales Group.

Sebelum ini, Prasarana mengumumkan operasi di 16 stesen LRT dari Kelana Jaya hingga Ampang Park digantung dari 9 hingga 15 Nov, susulan perkhidmatan yang didapati tidak stabil.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata satu ujian penuh akan dijalankan esok di laluan LRT Kelana Jaya, bagi memastikan tiada sebarang gangguan kepada sistem sebelum perkhidmatan itu dibuka semula kepada orang awam.

Rapid Rail memaklumkan LRT Laluan Kelana Jaya telah dibuka kepada umum pada 1998 dan pada ketika ini laluan itu adalah laluan yang tersibuk, antara jajaran sistem rel kendalian Rapid KL.

Sistem ATC bagi laluan tersebut adalah sistem yang telah diguna pakai sejak hampir 25 tahun yang lalu dan memang telah direncanakan untuk penaikan taraf, namun kerosakan yang dialami kini merupakan kerosakan awal yang di luar jangkaan.

Bulan lepas, pihak Lembaga Pengarah Prasarana telah pun meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta, yang diperlukan untuk fasa pertama penaikan taraf sistem berkenaan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS