Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, hari ini menyatakan kebimbangannya terhadap pencalonan begitu ramai calon Melayu atas tiket DAP pada PRU kali ini.
Menurut calon PN untuk kerusi Marang itu, dia bimbang jika Melayu terbabit hanya dipergunakan oleh DAP bagi meraih undi Melayu-Islam.
Untuk mengukuhkan hujahnya, Abdul Hadi sekali lagi mengaitkan DAP dengan sejarah Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura.
"Saya pernah sebut (dulu), DAP ini adalah Parti Tindakan Rakyat (PAP) dari Singapura.
“Semasa PAP nak tawan Singapura dulu, PAP tonjolkan Yusof Ishak, menteri-menteri Melayu untuk menawan Singapura bersama Lee Kuan Yew.
"(Mereka) Boleh membaca Jawi, pakai songkok. PAP ini ditubuhkan semasa Singapura (berada dalam) Malaysia.
"Semasa Singapura keluar dari Malaysia PAP tukar jadi DAP," katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah di Rusila, Marang hari ini.
Yusof yang dipetik namanya oleh Abdul Hadi itu merujuk kepada tokoh sebelum merdeka yang lahir di Taiping, Perak, dan bertanggungjawab mengasaskan akhbar Utusan Melayu pada 1939.
Dia kemudian dilantik menjadi presiden pertama Singapura pada Ogos 1965.
Gajah depan mata tak nampak
Abdul Hadi menambah, dia melihat DAP kini menggunakan pendekatan sama dan menganggap parti itu sedang menjadikan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, seperti Yusof.
"DAP guna taktik yang sama, termasuklah taktik Anwar (Ibrahim) ini dia jadi Yusof Ishak Singapuralah," katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi menggesa pengundi menolak calon daripada PH yang mewakili DAP pada PRU kali ini.
"Kita harap begitulah (tolak calon DAP), orang Melayu faham," katanya.
Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata penolakan begitu sukar bagi pengundi dalam kalangan masyarakat Cina dan India kerana mereka tetap memberikan sokongan kepada sesiapa saja yang dicalonkan.
"Sebab itu kita lihat calon (orang) India boleh menang kawasan majoriti orang Cina, sebab dia sokong parti DAP," katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Abdul Hadi menyerahkan kepada pengundi di Marang untuk menilai perkhidmatannya kepada rakyat selaku ahli parlimen.
Sering dikaitkan dengan kehadiran yang sedikit di parlimen, Abdul Hadi berkata, orang lain tidak datang ke Marang untuk melihat bagaimana dia bertugas sebagai wakil rakyat.
"Tak perlu orang buat kenyataan jauh-jauh, gajah depan mata tak nampak, kuman dikaitkan nampak," katanya mengulas kenyataan Anwar bahawa dia mengabaikan tanggungjawab dan ckap tak serupa bikin.