Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata dia mengalu-alukan siasatan SPRM berhubung pengisytiharan asetnya selepas NGO Pertubuhan Jalinan Perpaduan Malaysia membuat laporan terhadapnya semalam.
Presiden NGO itu Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz mahu SPRM meneliti pegangan Rafizi dalam syarikatnya Invoke Solutions Sdn Bhd, yang disenaraikan sebagai bernilai RM16.7 juta.
Bagaimanapun, Rafizi berkata, ia akan membazir masa SPRM kerana isu itu tidak akan berada di bawah bidang kuasa agensi itu, mengikut Akta SPRM.
"Saya sangat alu-alukan kalau SPRM nak datang siasat, cuma buang masa SPRM lah," kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Jelasnya, kesalahan rasuah di bawah Akta SPRM adalah sesuatu yang melibatkan seseorang di pejabat awam atau di dalam perbadanan yang menyalahgunakan amanah yang diberikan kepada mereka untuk tujuan memperkayakan diri.
"Itu syarikat saya, saham saya. Dia tak melibatkan kontraktor ke, dia tak libatkan kontrak kerajaan atau pegawai kerajaan.
"Jadi ia hampir seperti SPRM kena pergi siasat mak cik jual nasi lemak sebab nasi lemak dia laku.
"Jujurnya, saya terhibur, tapi saya lebih bimbang contohnya kalau SPRM menghabiskan masa," katanya.
Rafizi berkata dia telah menjelaskan perkara ini beberapa kali tetapi kemungkinan besar Syed Mohammad tidak faham bagaimana saham berfungsi.
Rafizi mengulangi bahawa RM16.7 juta aset yang dia ada dalam Invoke hanyalah "di atas kertas", kerana itu adalah nilai semasa saham yang dimilikinya dalam syarikat berkenaan.
Jelasnya, ia tidak bermakna dia mempunyai RM16.7 juta dalam akaun banknya.
"Jadi dia tak timbul soal ini, mana datang RM18 juta ni, sebab duit tu tak ada. Duit tu syarikat. Duit saya dalam bank, RM63,000. Duit saya dalam KWSP ada RM1 juta lebih. Itu saja," kata Rafizi.
Justeru, Rafizi berkata dia tidak kisah siasatan daripada SPRM ke atas asetnya, namun bimbang ia membuang masa SPRM terutamanya apabila terdapat isu yang lebih besar untuk agensi antirasuah itu perlu teliti.
“Kita mempunyai banyak kes untuk disiasat jadi jika SPRM tiba-tiba datang untuk menyiasat saya, jelas ia akan menjadi bahan jenaka negara.
“Jadi saya sanggup kalau SPRM nak siasat saya, tiada masalah. Saya boleh menjamu mereka dengan nasi lemak, tetapi apa yang mereka akan dapati hanyalah kira-kira RM63,000 dalam akaun bank saya,” kata Rafizi.
Rafizi telah mengisytiharkan hartanya sebelum bertanding di kawasan parlimen Pandan, diikuti oleh calon PKR yang lain pada PRU ke-15.
Timbalan presiden PKR itu berkata ini adalah untuk memupuk kepercayaan orang ramai terhadap wakil rakyat mereka semula.