Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tahap akademik dan kelayakan calon jadi persoalan

PRU15 l Ketika kempen sibuk berjalan sejak hari penamaan calon Sabtu lalu, warga maya mula memantau dan membuat penelitian berhubung tahap akademik dan kelayakan calon-calon yang bertanding seperti yang didakwa mereka.

Antara yang menjadi tumpuan adalah empat calon yang dipersoalkan kelayakan mereka dalam catatan di media sosial. Mereka adalah calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Sungai Petani, Dr Taufiq Johari, calon Pejuang bagi Tanjong Karang, Azlan Sani Zawawi, calon-calon BN di Kubang Kerian, Nurul Amal Mohd Fauzi dan Wangsa Maju, Mohd Shafei Abdullah.

Dalam catatan di Facebook, pemerhati politik Liyana Marzuki mempersoalkan penggunaan gelaran "Dr" Taufiq kerana dia tidak berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Pada mulanya, Liyana mempersoalkan mengapa dia tidak berdaftar dengan MMC. Bagaimanapun, dia mengakui bahawa semakannya dengan pangkalan data siswazah universitinya di Indonesia menunjukkan bahawa Taufiq telah menamatkan ijazah perubatannya.

Liyana Marzuki

Ketika dihubungi Malaysiakini, Taufiq menjelaskan dia berkelulusan ijazah perubatan dari Universiti Bandung, Indonesia, dan seterusnya mengamalkan perubatan di sebuah hospital di Bandung.

“Apabila saya kembali ke Malaysia, saya membuat keputusan untuk menyertai politik kerana minat dan keazaman saya untuk membantu rakyat dan saya tidak lagi berkhidmat sebagai doktor perubatan di mana-mana klinik swasta atau awam,” katanya.

Dia juga menafikan bahawa dirinya pernah berkhidmat sebagai doktor perubatan di sebuah klinik di Sungai Petani.

Siapa boleh guna doktor - MMC

Taufiq memberikan Malaysiakini gambar ijazah perubatannya, transkrip akademiknya dan tangkapan skrin maklumatnya pada pangkalan data siswazah universitinya, antara lain.

Dia seterus merujuk kepada catatan Facebook baru-baru ini yang dibuat oleh ahli MMC, Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin.

Dr Taufiq Johari

Khairul berkata tiada isu bagi seseorang yang mempunyai ijazah perubatan yang sah untuk menggunakan gelaran “Dr” di Malaysia, walaupun mereka tidak berdaftar dengan MMC.

“Jika tiada ijazah, mereka tidak boleh menggunakan gelaran ‘Dr’ dan tidak boleh practice (mengamalkan perubatan). Jika mereka ada ijazah yang sah dan tidak menamatkan housemanship, mereka boleh guna gelaran ‘Dr’ tetapi tidak boleh practice di Malaysia,” katanya.

Khairul sebenarnya merujuk kepada calon lain yang turut diragui kelayakan perubatannya sebelum ini - calon BN bagi Pengkalan Chepa, Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin.

Liyana juga adalah individu yang pertama kali membangkitkan kebimbangannya mengenai kelayakan akademik Hafiezulniezam, dengan mendakwa dia tidak dapat mencari bukti bahawa calon BN itu telah lulus dengan ijazah perubatan dari Universiti Gadjah Mada di Yogyakarta atau namanya berada dalam pangkalan data MMC.

Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin

Kedua-dua Hafiezulniezam dan Liyana telah membuat laporan polis terhadap satu sama lain berhubung isu itu.

Belum tamat pengajian

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook mempersoalkan kelayakan akademik calon Pejuang di Tanjong Karang, Azlan Sani Zawawi. Warga maya itu, berkata dia tidak menjumpai nama calon berkenaan di pangkalan data siswazah Universiti Tasmania, Australia.

Azlan Sani Zawawi

Menurut profil Azlan, yang lebih dikenali dengan nama sebagai Lando di kalangan pengikut media sosialnya, tempat terakhir pendidikannya ialah di Universiti Tasmania pada 1996, namun tiada maklumat lanjut diberikan, seperti sama ada dia tamat pengajian atau bidang apa yang menjadi pengkususannya.

Ketika dihubungi, Azlan memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak menamatkan pengajiannya di Universiti Tasmania dan dia tidak pernah berkata membuat dakwaan tersebut.

“Saya belum habis lagi, sebab itu saya tidak meletakkan sebarang ijazah atau apa-apa pun. Saya tidak pernah mendakwa bahawa saya adalah pemegang ijazah sarjana muda.

"Mereka (Pejuang) tanya status pendidikan saya jadi saya hanya berkata, okey, saya letak (Nama) Universiti Tasmania," katanya.

Jelasnya, dia terpaksa berhenti belajar di universiti itu pada 1996 kerana urusan keluarga.

Semasa cuba menyambung semula pengajiannya baru-baru ini, penularan wabak Covid-19 membantutkan hasratnya itu. Azlan berkata, kini tidak mampu untuk menyambung pengajiannya dan juga berdepan kekangan masa.

Ketika itu, dia sedang mengikuti jurusan dalam psikologi dan sosiologi di Universiti Tasmania, katanya.

Jual ijazah

Kedua-dua calon BN yang kelayakan akademik mereka dipersoalkan oleh pengguna media sosial tidak menjawab percubaan Malaysiakini untuk mendapatkan jawapan mengenai perkara ini.

Nurul Amal menyenaraikan dalam profil calonnya bahawa dia memiliki diploma dalam pentadbiran perniagaan, ijazah sarjana muda dalam kewangan dan perakaunan, dan MBA daripada "American University of London, UK".

Nurul Amal Mohd Fauzi

Semakan Malaysiakini gagal menemui mana-mana universiti dengan nama yang diberikan itu tetapi terdapat banyak universiti dengan nama hampir serupa, seperti Universiti Amerika di London dan Universiti Amerika London.

Pada tahun 2013, BBC melaporkan bahawa American University of London telah menjual ijazah MBA pada harga beribu-ribu pound tanpa keperluan sebarang kerja-kerja akademik.

Walau bagaimanapun, universiti itu mempertahankan keteguhan kelayakan yang ditawarkannya dan menggambarkan dirinya sebagai institusi pendidikan tidak bertauliah yang mencari keuntungan dengan menawarkan ijazah semata-mata melalui pembelajaran jarak jauh.

Laman web mereka juga secara khusus menafikan bahawa ia adalah “kilang ijazah” dan bahawa mereka mempunyai akreditasi daripada "agensi bebas pakar terutamanya dalam pembelajaran jarak jauh".

Sementara itu, Universiti Amerika di London adalah universiti yang diiktiraf sebelum digantung pada tahun 2007.

Universti tanpa akreditasi

Walau bagaimanapun, terdapat sebuah universiti yang sah dengan nama yang sama, iaitu Richmond American University London, yang terletak di UK.

Tidak jelas dari universiti mana Nurul Amal memperolehi kelayakan akademiknya.

Mohd Shafei Abdullah

Pada profil Shafei pula, dia menyenaraikan ijazah kedoktoran dalam pentadbiran perniagaan dari European American University sebagai kelayakan akademiknya.

Menurut laman web universiti itu, ia seolah-olah tidak mempunyai sebarang akreditasi kerajaan, tetapi mempunyai kerjasama sistem akreditasi swasta secara sukarela dan perjanjian pengiktirafan dengan institusi lain.

Antara institusi itu adalah Yayasan Pendidikan Mara di Malaysia.

"Perjanjian perkongsian rasmi ditandatangani antara yayasan danEuropean-American University di London, England pada 19 April 2011," kata laman web universiti itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai hari mengundi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS