Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
  • Dikemas kini dengan olahan baru.

Presiden pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM) Zuraida Kamaruddin berkata Langkah Sheraton bukanlah seperti yang dianggap.

Katanya, Langkah Sheraton hanya menyatakan undi anggota parlimen berkaitan calon perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Mereka tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Sebab itu saya dah dah kata nanti, yang pengkhianat itu PH.

“PH tak undi Tun (Dr Mahathir Mohamad). Kalau dia undi Tun, dah jadi kerajaan yang sangat stabil, sangat berbilang bangsa dan seadanya. 

“Jadi Sheraton move, tapi tak ada benda sebenarnya. Apa itu Sheraton Move? Tak ada apa pun Sheraton Move? Yang move itu (ahli parlimen) bagi undi kat agong, (itu) adalah move. Agong Move adalah,” katanya ketika diwawancara Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika ditanya tindakannya menyokong kerajaan BN yang dilihat sebagai khianat kepada Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, mengulas berkaitan pilihan raya umum minggu depan, Zuraida meminta pengundi tidak mengundi berdasarkan logo, sebaliknya nama calon.

Zuraida yang menyandang kerusi Ampang selama tiga penggal yakin dengan jenamanya sendiri dan mendakwa dirinya sangat mesra dengan pengundi di situ sejak 15 tahun menjadi wakil rakyat.

“Jadi (bila) saya berkempen jangan tengok logo (yang baru), tengok nama Zuraida Kamaruddin kerana kalau orang (di Ampang) susah, logo parti takkan tolong, yang tolong wakil rakyat,” katanya.

Zuraida berkata logo PH dan BN lebih dikenali ramai kerana gabungan itu sudah digunakan untuk beberapa ketika, namun menurutnya dia merupakan “orang lama” berbanding calon lain di situ.

“Dari peringkat nasional, dari segi logo parti (yang lebih dikenali) itu adalah PH tapi di (peringkat) penduduk Ampang semua sama (dikenali) kerana semua logo lama, saya logo baru tapi dari segi perkhidmatan, saya orang lama, dia orang baru,” katanya apabila ditanya siapa penentang hebatnya di Ampang setakat ini.

Untuk rekod, Zuraida menang di Ampang sejak 2008 hingga 2018. Pada PRU14 dia meraih undi majoriti terbanyak berbanding sebelumnya, 41,956 di atas tiket PH-PKR.

Dia kemudian menyertai Bersatu melalui Langkah Sheraton yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan PH pada hujung Feb 2020. Dia menyandang tiga jawatan menteri ketika tiga pentadbiran berbeza sebelum mengambil keputusan meletak jawatan dan menyertai PBM pada Mei tahun ini.

Katanya, jumlah undi yang diterimanya pada PRU14, sebanyak 54,307 mustahil dapat dipertahankan seperti PRU14 kerana menyifatkan ketika itu merupakan “tsunami politik”, di mana gelombang rakyat untuk menolak kerajaan BN ketika itu sedang berkobar-kobar.

“Tapi keadaan sangat berbeza (ketika ini)… mereka (pengundi BN yang beralih sokongan) sudah kembali kepada parti mereka kerana mereka (BN) menjadi (sebahagian daripada) kerajaan dan (perdana menteri sementara) Ismail Sabri (Yaakob) juga menunjukkan prestasi yang agak baik.

“Jadi tak mungkin akan dapat undi sebanyak begitu,” katanya.

Tambahnya, faktor pertembungan sembilan penjuru di situ turut mempengaruhi kepada jumlah undi yang bakal memberikan pecahan undi.

Selain Rodziah Ismail dari PH, Zuraida berdepan dengan tujuh pencabarnya, Ivone Low Yi Wen (BN), Sasha Lyna Abdul Latif (Perikatan Nasional), Nurul Ashikin Mabahwi (GTA), Lai Wai Chong (Warisan), dan tiga calon bebas Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Tan Hua Meng dan M Raveendran.

PRU15 mencatatkan jumlah paling ramai, menjangkau sehingga 945 individu, menjadikan ia sebagai PRU paling sengit dalam sejarah negara. Jumlah itu yang merangkumi 818 calon lelaki dan 127 wanita, meningkat berbanding 687 calon pada PRU14 dan 579 calon pada PRU13.

Selesa dalam PBM, tak perlu jadi ‘pak turut’

Setelah berpindah dari satu parti ke parti yang lain, Zuraida yang kini merupakan pengganti presiden PBM berkata bawah parti baru, dia berasa lebih selesa kerana tidak perlu menjadi “pak turut” dan mempunyai kebebasan untuk bersuara.

“Saya solo, saya rasa saya lebih senang kerana saya ada kebebasan untuk memilih, saya ada kebebasan untuk bersuara dan cakap apa saya mahu,” katanya yang turut menggelarkan dirinya sebagai ‘Ibu Bangsa Malaysia.’

“Pada masa sama, saya tak boleh jadi ‘yes man’ (pak turut), kerana saya ada parti saya sendiri, saya boleh tegur terhadap BN, PN, PH ke… saya boleh kritik mereka,” katanya.

Katanya, pengalamannya dalam perjuangan 20 tahun era reformasi dalam PKR dan pengalaman lain dalam politik, dengan mengorbankan masa, tenaga dan wang dan berada dalam tiga pentadbiran perdana menteri dalam masa empat tahun, merasakan dirinya lebih sesuai bergerak solo.

“Ini parti saya sendiri, jadi Insya-Allah saya fikir saya tak akan pindah-pindah (parti) lagi.

“Akar umbi sokong saya, saya terhutang budi kepada mereka, jadi saya harus bertanggungjawab terhadap mereka,” katanya apabila ditanya mengenai bagaimana dia dapat meyakinkan kepada pengundinya bahawa ini merupakan kali terakhir dia berpindah parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS