Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zuraida: PBM akan jadi penentu gabungan yang bentuk k’jaan

Penyandang kerusi parlimen Ampang selama tiga penggal Zuraida Kamaruddin merancang percaturannya dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM) jika dua situasi berbeza berlaku selepas pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Dia berkata PBM bersedia menjadi menjadi penentu kepada gabungan politik yang tidak berjaya mendapat majoriti mudah kerana dia menjangkakan bahawa tiada gabungan parti politik yang mampu membentuk kerajaan dengan selesa pada pilihan raya kali ini.

“Mungkin akan ada satu rundingan yang nak tarik sana, tarik sini.

“Saya (PBM) bertanding lima kerusi, kalau menang lima-lima ni, alhamdulillah saya akan jadi tukang penentu siapa yang akan jadi kerajaan,” katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini.

Pada masa sama, dia berkata demi memperkukuhkan partinya, dia merancang untuk mengambil sikap tunggu dan lihat, dan akan menyokong mana-mana gabungan politik yang berjaya membentuk kerajaan, walaupun ia merupakan Pakatan Harapan - iaitu gabungan yang telah menyingkirkannya dahulu.

“Itu belum lagi (nak gabung dengan gabungan mana), lepas election menang, Insya-Allah saya akan support government of the day (kerajaan semasa) dulu.

“Saya nak pastikan saya punya pengundi terima peruntukan daripada kerajaan. Lepas tu saya akan kuatkan parti saya dahulu, kemudian kita akan tengok PRU16 macam mana,” katanya apabila ditanya mengenai rancangannya sama ada akan bergabung dengan mana-mana gabungan parti selepas PRU15.

“Tak kisahlah siapa pun.. saya bukan nak parti tu, saya nak allocation (peruntukan) untuk saya punya pengundi,” tegasnya.

Zuraida merupakan naib presiden PKR sebelum dipecat oleh parti itu pada Februari 2020 atas dakwaan “pengkhianatan terbuka” melalui insiden Langkah Sheraton yang mengakibatkan kerajaan PH tumbang.

Mengulas lanjut mengenai hasratnya yang terbuka untuk bergabung dengan PH sekiranya ia sekali lagi menjadi kerajaan, calon PBM di Ampang itu berkata dia akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya gabungan parti itu enggan menerima partinya.

“Dia (PH) tak boleh (beri keputusan) negatif sebab saya ada ahli parlimen yang diundi oleh rakyat Malaysia.

“Dia tak boleh tolak saya, kalau dia tolak saya, saya akan pergi ke court nanti,” katanya dalam nada bergurau.

Dalam PRU15, PBM akan bertanding di lima kerusi parlimen iaitu Ampang, Julau, Hulu Selangor, Kapar dan Labuan selain dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bugaya dan Tronoh.

‘PH akan salah tadbir’

Pada masa sama, Zuraida, melihat PH akan sekali lagi menjadi kerajaan yang salah tadbir sekiranya mengambil alih Putrajaya.

It will be a misgovernment again (akan salah tadbir sekali lagi)… tidak akan ada satu parti gabungan yang akan dapat majoriti bersih 112 (kerusi).

“Tu tak tahulah siapa yang masuk sana (parti politik mana yang akan bergabung), saya tengok saja dulu,” katanya.

Zuraida telah menyandang kerusi di Ampang sejak PRU 2008 hingga 2013 di bawah tiket PKR.

Selepas PH menang dan berjaya membentuk kerajaan pada PRU14, Zuraida dilantik sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Selepas insiden Langkah Sheraton, dia mengekalkan jawatan menteri sewaktu pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, sebelum akhirnya meletakkan jawatan menteri perusahaan dan perladangan komoditi dan keluar dari Bersatu, untuk menyertai PBM.

Menurutnya, rata-rata pengundi yang ditemuinya mengetahui hasratnya itu kerana dia turut ditanya mengenai perancangannya dalam pilihan raya ini.

“Pengundi saya semua tahu juga. Semua tanya saya, saya jawab semua macam gini. Jadi dia setuju,” jawabnya apabila ditanya sama ada hasratnya itu akan menimbulkan perasaan tak puas hati di kalangan pengundinya di situ.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS