Penyandang kerusi parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid, menyatakan keyakinannya PN mampu menyapu bersih semua lapan kerusi yang ada Terengganu pada 19 Nov ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sementara itu, berkata keyakinan tersebut dibuat berdasarkan rekod baik pentadbiran kerajaan negeri dibawah pentadbiran PAS di negeri terbabit.
"Saya rasa kita boleh (menang) 8-0, sebab tak ada isu. Umno nak promosi apa sekarang? Itu masalah dia. Apa yang dibuat untuk pengundi? Tak ada.
"Rekod prestasi kita (PN) pun bagus dan saya dah lima penggal (menjadi ahli parlimen) tak ada isu," kata Rosol ketika ditemui Ajil, Hulu Terengganu, hari ini.
Terdahulu timbalan pengerusi Bersatu Terengganu itu hadir ke Pondok Al-Abrar di Menerong untuk menyertai majlis selawat dan qasidah bersama penghuni pusat tahfiz terbabit.
Mengulas lanjut keyakinannya itu, Rosol - yang memenangi kerusi Hulu Terengganu pada 2018 sebagai calon BN - berkata ia dapat dilihat selepas kempen memasuki hari keenam hari ini.
Kata Rosol, sambutan yang diterima pemimpin PN di Terengganu juga berbeza berbanding sebelum ini dan dianggapnya sebagai luar biasa.
Misalnya, kata Rosol, ada tempat tertentu yang sukar dimasuki PAS kini sudah boleh dibuka markas untuk parti terbabit.
"(Parlimen) Kemanan pun nampak OK sebab (kerusi DUN) yang menang pun hanya satu kerusi saja daripada empat kerusi DUN iaitu kerusi Ahmad Said saja (DUN Kijal)," katanya.
Telur pun susah dapat
Tambah Rosol, dia melihat perubahan sikap ditunjukkan oleh pengundi itu berpunca daripada sikap "tamak" pemimpin tertent dalam Umno yang sudah menjadi Adun namun mahu bertanding di kerusi parlimen pula.
"Ahmad Said dah ada (kawasan) DUN tapi nak tanding parlimen lagi, bergitu juga dengan Rozi Mamat, tapi nak tanding parlimen lagi.
"Jadi, isu ini juga berkesan untuk menarik undi," katanya merujuk kepada Ahmad yang juga bekas menteri besar Terengganu yang kini menjadi Adun Kijal, serta Rozi di Telemong.
Dalam PRU ke-15 ini Ahmad bertanding sebagai calon BN bagi parlimen Kemaman, manakala Rozi akan mencabar Rosol di Hulu Terengganu.
Mengulas mengenai persaingan di kerusi Hulu Terengganu, Rosol berkata, Rozi itu adalah anak didiknya dan tahu "hanya dia (Rozi) calon terbaik" yang mampu Umno ketengahkan.
Pada PRU lalu, Rosol menangi kerusi tersebut dengan jumlah undi 30,925 menewaskan calon PAS, Muhyidin Abdul Rashid (28,057 undi) dan calon PKR, Razali Idris (3,364 undi).
Sementara itu, mengulas kempen yang kurang panas di Terengganu kali ini, Rosol berkata ia berpunca daripada ketiadaan isu oleh pihak lawan PN.
Bagi BN pula, katanya, dia menganggap gabungan terbabit ketiadaan "wow factor" bagi menarik sokongan orang ramai.
"Dulu dia kata kita akan stabil, kita akan makmur, akan harmoni dan barang murah tapi sekarang ini telur pun susah nak dapat, ayam pun mahal... banyak masalah, banjir pula lagi orang lagi marah.
"Jadi, sekarang ini, pada saya BN seolah-olah sedang menggali kubur sendiri," katanya.
Diminta mengulas isu ketiadaan poster calon PN meskipun kempen telah memasuki hari keenam, Rosol berkata, hal itu kerana pengundi di Hulu Terengganu telah mengenalinya, selain atas pertimbangan strategi parti.
"Poster-poster ini penting tetapi yang lebih penting ialah pendekatan di media sosial dan pada saya orang muda dah tahu siapa mereka nak sokong.
"Kempen tak kempen (siapa yang mahu diundi) dah ada dalam kepala dia siapa dia nak sokong.
"Orang tua ini mungkin ada lima peratus yang susah nak berubah tetapi yang muda-muda ini dah ada. Orang muda, orang terpelajar dan penjawat awam (berpihak pada PN) kerana dia tahu apa yang berlaku dalam negara," katanya.