mk-logo
Berita
Tinjauan: Rakyat sambut baik dasar Keluarga Malaysia
Diterbitkan:  Nov 10, 2022 8:46 PM
Dikemaskini: 12:46 PM

"Dasar Keluarga Malaysia" yang dicanang Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam 13 bulan mentadbir "secara umumnya disambut baik" oleh rakyat Malaysia, menurut badan pemikir Ilham Center.

Kesimpulan ini dibuat daripada tinjauan firma baru-baru ini mengenai persepsi orang ramai terhadap kerajaan persekutuan dan "dasar Keluarga Malaysia".

Ilham Center menyifatkan kehadiran watak perdana menteri yang "tidak membawa pendekatan jalur keras," kurang kontroversi serta menghargai peranan parti pembangkang menyebabkan suhu politik tempatan menjadi reda.

"Maka, apabila Dasar Keluarga Malaysia diperkenalkan, rakyat terbanyak menerimanya dengan baik.

"Kaum Melayu, masyarakat di luar bandar dan pedalaman menerima dasar ini adalah untuk meletakkan kembali Malaysia ke landasan yang tepat," kata firma itu.

Ilham Center berkata 77.9 peratus responden percaya bahawa "konsep Keluarga Malaysia" serasi dengan mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum.

Sebanyak 59.5 peratus lagi responden berkata inisiatif, bantuan dan dasar "Keluarga Malaysia" telah memberi manfaat kepada mereka atau ahli keluarga mereka.

Pencapaian tertinggi inisiatif Keluarga Malaysia diperolehi sebanyak 82.5 peratus terhadap program "Jamin Kerja dan Diskaun Saman PDRM."

"Ternyata, Dasar Kerajaan Keluarga Malaysia ini adalah baik tetapi ia memerlukan tempoh yang lebih panjang untuk direalisasikan.

"Perdana menteri memerlukan satu penggal penuh jika ingin menjayakan lagi idea beliau ini selepas pilihan raya umum ini.

"Pencapaian perdana menteri selama 13 bulan tetap harus dipuji.

“Ini kerana selama perkhidmatan beliau sebagai perdana menteri telah menunjukkan hasil kejayaan dan membina asas bagi meletakkan semula negara pada landasan yang betul dan perlu bersedia menghadapi gelombang kesuraman ekonomi pada masa mendatang," kata panel penyelidik Ilham Center.

Ilham Centre menjalankan kajian antara 20 Okt dan 6 Nov - selepas parlimen dibubarkan.

Penyelidik menemu bual 1,211 responden secara bersemuka. Responden dipilih melalui persampelan berstrata rawak untuk mencerminkan populasi Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS