Calon BN Khairy Jamaluddin berkata dia tidak mempunyai pilihan selain meminta untuk bertanding di kerusi parlimen Sungai Buloh kerana kepimpinan parti tidak memberi petunjuk ke mana dia akan diletakkan.
Mengetahui dia perlu mengosongkan Rembau bagi memberi laluan kepada bekas MB Negeri Sembilan Mohamad Hasan, Khairy berkata dia terpaksa mengambil inisiatif mencari tempat untuk dirinya sendiri selepas pimpinan parti meninggalkannya 'dalam kegelapan'.
Khairy berkata demikian ketika berkempen hari ini susulan pendedahan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang menjelaskan tiada sesiapa memaksa menteri kesihatan itu bertanding di kubu kuat Pakatan Harapan, tetapi dia sendiri yang memilih untuk bertanding di sana.
"Hakikatnya tiada lagi pilihan, pucuk pimpinan tidak ada beri isyarat pergi mana-mana kawasan, tinggal begitu sahaja.
"Saya tahu saya kena keluar dari Rembau, saya tidak diberi pilihan, saya perlu melakukan sesuatu untuk diri saya.
"Saya yang ambil inisiatif, jumpa (Pengerusi BN Selangor) Noh Omar dengan Vicky (presiden MIC Vigneswaran).
"Bila tak banyak kerusi yang tersedia, tinggal dua, tiga kerusi saja, saya kata okay, saya pilih Sungai Buloh," kata Khairy.
Jelasnya, dia tidak memilih kerusi itu dari awal lagi kerana menunggu "isyarat dari pucuk pimpinan" sebelum mengorak langkah ke parlimen itu.
Malah, kata Khairy, idea untuk bertanding di Selangor dicetuskan oleh Noh, yang digugurkan daripada bertanding di kerusi Tanjong Karang untuk kali ketujuh.
"Tan Sri Noh call saya, kata brother kalau tidak ada tempat dah, kenapa tidak kamu datang ke Selangor, cakap dengan presiden MIC, minta tukar Sungai Buloh sebab Sungai Buloh ni dulu MIC," katanya.
Pun begitu, Khairy berkata dia tidak mahu bertelagah secara terbuka dengan presiden Umno berhubung isu ini sebaliknya menumpukan usaha meraih kemenangan untuk BN.
Perpecahan dalam Umno telah menyebabkan ramai veteran parti dan menteri kabinet digugurkan sebagai calon PRU15, dengan perpindahan Khairy ke Sungai Buloh dilihat oleh pengulas politik sebagai isyarat rasa tidak senang Zahid terhadapnya.
Dalam pada itu, Khairy juga berterima kasih kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin yang berkata bekas ahli parlimen Rembau itu boleh menjadi perdana menteri yang bagus cuma 'salah parti'.
"Saya ada dalam parti yang tepat untuk saya.
“Terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin beri komen baik berkenaan mutu kerja saya dan saya bekerja kuat masa beliau lantik saya penyelaras imunisasi (Covid-19).
"Tan Sri tahu apa yang saya boleh buat tapi soal parti kena setuju untuk tidak bersetuju," kata Khairy.
Terdahulu, Khairy memberitahu pengundi Sungai Buloh mereka harus mengundinya kerana dia berhasrat untuk kekal dalam politik dalam jangka masa panjang, dengan cita-cita menjadi presiden Umno dan perdana menteri.
Ini selepas Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata mengundi Khairy di Sungai Buloh seperti memberi Zahid pedang untuk kemudiannya "mencincang" Khairy dalam parti itu.
"Saya harap pengundi-pengundi di Sungai Buloh faham yang besar kemungkinan Khairy akan kena kerat.
"Kerana saya tidak nampak bagaimana Zahid selepas Umno menang PRU akan membiarkan Khairy terus mara dalam Umno kerana dia adalah ancaman terbesar buat Zahid,” dakwa Rafizi.
Khairy bercakap kepada pemberita hari ini selepas melawat SME Aerospace dan tapak semaian tumbuhan, yang sinonim dengan Sungai Buloh.
"Hari ini adalah mengenai ekonomi Sungai Buloh, melihat bagaimana saya boleh memainkan peranan sebagai ahli parlimen untuk menggalakkan dasar yang lebih bagus demi menarik pelaburan yang lebih baik serta bekerjasama dengan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan untuk memberikan infrastruktur yang baik di Sungai Buloh,” katanya.
Khairy berhadapan pertembungan tujuh penjuru menentang calon PH Ramanan, Ahmad Jufliz Faiza daripada PRM, calon Pejuang Mohd Akmal Mohd Yusof, Mohd Ghazali Md Hamin daripada PAS dan dua calon bebas, Sifu Linda dan Syed Razak Alsagoff.
Wakil rakyat PKR Sivarasa Rasiah menjadi ahli parlimen Sungai Buloh sejak 2008, dan digantikan dengan Ramanan sebagai calon PH untuk PRU15 atas alasan kesihatan.
Pada 2018, Sivarasa menang dengan majoriti 26,634 undi.