Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jakoa tarik balik sekatan masuk kampung Orang Asli' - Aktivis
Diterbitkan:  Nov 10, 2022 5:06 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Susulan kontroversi Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Gua Musang menyekat kemasukan orang luar tanpa kebenaran terlebih dahulu, Ketua Pengarah Jakoa Sapiah Mohd Nor telah mengeluarkan surat mengesahkan tiada had perjalanan di kawasan itu.

Dalam surat bertarikh 10 Nov yang dilihat oleh Malaysiakini , Sapiah berkata tiada halangan bagi sesiapapun untuk memasuki perkampungan Orang Asli di Gua Musang.

"Pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengambil maklum mengenai permohonan dari Jawatankuasa Protem, Pergerakan Ibubapa Temiar Gua Musang untuk mengadakan perjumpaan dan mencari penyelesaian kepada surat Jakoa Daerah gua Musang.

"Untuk makluman pihak tuan, Jakoa tiada halangan kepada masyarakat Orang Asli, lain-lain badan dan agensi untuk memasuki perkampungan Orang Asli di Jajahan Gua Musang, Kelantan bagi menjalankan urusan seharian, atas keperluan mendesak dan urusan semasa.

"Sehubungan dengan itu, surat seperti rujukan di atas adalah tidak terpakai kepada pihak tuan," menurut surat pemeritahuan Jakoa itu yang disediakan kepada Malaysiakini oleh aktivis Orang Asli yang telah pergi ke ibu pejabat Jakoa hari ini untuk menyampaikan memorandum mengenai isu itu.

Perintah awal penuh sekatan

Terdahulu, arahan yang menjadi pertikaian itu meminta semua ketua kampung Orang Asli di daerah ini supaya menghalang pihak luar termasuk NGO kebajikan memasuki kawasan mereka tanpa kebenaran Jakoa, Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

Arahan itu mendapat tentangan hebat aktivis Orang Asli yang berkata mereka bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Jakoa.

Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Nasir Dollah (gambar, atas) menyoal jika arahan itu mempunyai motif politik kerana ia dikeluarkan ketika negara sedang memasuki tempoh kempen PRU15.

Nasir berkata arahan itu dilihat tidak wajar dan diharapkan kerajaan mempertimbangkannya semula apatah lagi saat berhadapan musim tengkujuh.

"Saya bimbang bila berlaku bencana seperti banjir. Selalunya manusia yang pertama membantu Orang Asli di pendalaman adalah NGO dan disusuli agensi-agensi kerajaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Jakoa dalam kenyataannya sebelum ini juga turut berkata kerosakan jalan raya di Gua Musang berpunca daripada musim tengkujuh selain berpunca daripada peminat sukan lasak 4X4 yang masuk ke kampung untuk melakukan program pada musim hujan sehingga merugikan penduduk. .

"Larangan penguatkuasaan ini dapat mengawal kemasukan sehingga keadaan jalan kembali pulih agar tidak menjejaskan urusan seharian masyarakat Orang Asli yang melibatkan 3,000 penduduk dan 40 buah kampung, enam pos di pendalaman Gua Musang," jelas Jakoa.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS