Paling Popular
Terkini

PRU15 l Menarik untuk memperhatikan kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini apabila empat calon muda berusia antara 33 hingga 41 tahun mengambil bahagian dalam proses demokrasi negara.

Mereka ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan Adam Adli Abd Halim, 33, daripada Pakatan Harapan (PH), Ketua Umno Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, 36, daripada Barisan Nasional (BN), Timbalan Ketua Majlis Pimpinan Pejuang Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, 40, (Gerakan Tanah Air-Pejuang) dan ahli perniagaan Mohd Azrudin Md Idris, 41, daripada Perikatan Nasional (PN-Bersatu).

Mohd Ridhwan, Sheikh Ikhzan serta Mohd Azrudin merupakan calon tempatan manakala Adam Adli pula calon import dengan kesemuanya bakal memberi pilihan kepada 118,493 pengundi kawasan itu untuk memilih wakil mereka di Dewan Rakyat nanti.

Mohd Azrudin pernah bertanding sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangga Batu pada Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lepas namun kalah manakala nama lain pertama kali bertanding sebagai calon.

Menurut Sheikh Ikhzan, Parlimen Hang Tuah Jaya merupakan kerusi campuran membabitkan kira-kira 60 peratus penduduk Melayu, 30 peratus Cina dan bakinya India serta lain-lain kaum, memberi cabaran kepada calon muda untuk menarik perhatian mereka berikutan pemilih juga mempunyai taraf pendidikan tinggi.

"Jadi pengundi akan melihat kriteria dan pengalaman calon sama ada orang ini (calon) boleh memimpin negara mahupun kerusi Parlimen mereka sendiri.

"Bagi saya, seseorang pemimpin itu, pertama dia kena berani bersuara (untuk masyarakat di Parlimennya) dan kedua, dia perlu tahu apa masalah penduduk di Hang Tuah Jaya (yang pelbagai)," katanya kepada Bernama.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Peguam Negeri Melaka itu berkata walaupun Parlimen Hang Tuah Jaya merupakan sebuah kawasan bandar, ia juga mempunyai kawasan pinggir bandar serta kampung, justeru memberi cabaran tersendiri kepada mana-mana individu yang menang pada kerusi tersebut pada PRU15 ini.

Beliau berkata antara masalah dikesannya melibatkan jalan kampung yang sempit, kekerapan bas ulang-alik dari kawasan kampung ke bandar dan capaian jalur lebar yang masih kurang di sesetengah kampung walaupun berdekatan kawasan bandar.

"Selain itu, masalah peniaga dan penjaja di beberapa kawasan tumpuan pelancongan yang kini semakin suram juga perlu diberi perhatian kerana kita baharu berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19," katanya.

Sementara itu, Mohd Ridhwan berkata penduduk di Parlimen Hang Tuah Jaya memerlukan pemimpin yang bukan sahaja mempunyai karakter baik untuk menyantuni mereka malah mampu menyelesaikan masalah penduduk dengan pantas.

"Karakter pemimpin ini memainkan peranan juga. Kalau orang yang hadir ini dia tak mesra dan sebagainya... jadi sukar nak selesaikan masalah dalam Parlimen Hang Tuah Jaya ini.

"Apatah lagi kepimpinan terdahulu, memang karakter mereka bukan bersifat agresif, jadi orang Hang Tuah Jaya ini dah biasa dan sinonim dengan karakter pemimpin yang mesra, senang berjumpa, kemudian tahu selok-belok untuk menyelesaikan masalah," katanya.

Justeru, beliau berkata rakyat perlu memilih wakil rakyat yang mampu menjadi penghubung antara kerajaan negeri dan Persekutuan daripada satu parti yang sama supaya lebih memudahkan mereka menyelesaikan masalah dengan sebaik mungkin.

"Kalau ada platform sebagai ahli Parlimen, saya boleh bercakap secara terus, boleh buat tindakan susulan dan kalau rezeki kerajaan Malaysia ditadbir BN, mungkin kita boleh mintak platform lain yang lebih besar supaya dapat kita bantu lebih cepat segala pembangunan di sini," katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Melaka, Shafezah Abdul Wahab berkata di sebalik populariti calon muda di Parlimen Hang Tuah Jaya menerusi media sosial, calon anak tempatan dilihat mempunyai kelebihan tersendiri untuk menawan hati pengundi di kawasan berkenaan.

Beliau berkata strategi parti politik meletakkan anak muda bertanding kali ini amat menarik untuk diperhatikan kerana berlaku perubahan pemikiran rakyat pasca-PRU14 dan kadar celik teknologi yang semakin meningkat dalam kalangan warga berusia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS