Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pesaing sebenar BN dan PH, yang lain cuma 'hiasan' - Subra

Pertembungan banyak penjuru tidak membawa sebarang perubahan dalam keputusan dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ini, kata bekas presiden MIC S Subramaniam.

Katanya, pesaing sebenar dalam PRU ini adalah BN dan PH sahaja.

"Di banyak tempat saya rasa pertembungan sebenar dalam pilihan raya ini adalah antara PH dan BN.

"PN sudah tentu dapat undi di kawasan Melayu.Tetapi saya tidak fikir ia cukup untuk mereka menentukan kemenangan pilihan raya dan orang ramai juga melihat dalam sudut itu.

Vigneswaran ketika berkempen

"Walaupun, PN fikir mereka mampu memberi saingan, saya tidak fikir mereka pesaing yang serius. Manakala, yang lain cuma memberi satu 'decoration' (hiasan) sahaja khususnya bebas," katanya kepada pemberita di Sungai Siput , semalam.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas pertembungan banyak penjuru dalam PRU kali ini.

Sementara itu, Subramaniam berpendapat pertembungan banyak penjuru memberi kelebihan kepada BN.

"Kerana kebiasaannya mereka pecah undi di kalangan pembangkang sahaja. Undi BN tidak akan terjejas. Jadi, ini satu kelebihan kepada BN pada PRU ini," katanya.

Terdahulu, Subramaniam kempen membantu Presiden MIC SA Vigneswaran yang bertanding di Sungai Siput.

Ketika ditanya peluang kemenangan di Sungai Siput, dia berkata Vigneswaran mempunyai peluang yang cerah pada kali ini.

"Berdasarkan analisis saya buat, kali ini kita mempunyai peluang kemenangan. Ini kerana kita ada calon yang terkenal iaitu presiden MIC. Beliau sudah berada di sini lebih dua tahun.

"Calon PN kali ini daripada kalangan India berbanding PAS meletakkan calon dari kalangan Melayu pada PRU14. Ini memang satu perbezaan di mana undi Melayu tidak akan pecah seperti PRU 2018.

Katanya, gelombang rakyat untuk menukar kerajaan tidak begitu kuat seperti 2018.

"Keputusan PH dan PN bertanding sebagai dua gabungan juga memberi kelebihan kepada BN.

Subramaniam juga berkata warga Sungai Siput juga mampu membuat penilaian pada kali ini selepas calon PH S Kesavan yang merupakan penyandang kerusi ini selama satu penggal.

"Jadi, berdasarkan pemilihan calon dan demografi pengundi peluang kita untuk menang pada kali ini lebih cerah," katanya.

Vigneswaran, melengkapkan persaingan merebut kerusi Sungai Siput menjadi tujuh orang secara keseluruhannya, dengan tiga daripada mereka merupakan calon bebas.

Kawasan itu merupakan kerusi tradisi MIC sejak 1959.

Vigneswaran dijangka menghadapi cabaran sengit daripada penyandangnya S Kesavan, dari PH. Turut bertanding ialah G Irudianathan dari PN, dan Ahmad Fauzi Mohd Jaafar (Pejuang).

Tiga calon bebas ialah bekas bendahari PKR Sungai Siput, R Indrani; bekas Ketua Penerangan PN Sungai Siput, Baharudin Kamarudin; dan ahli perniagaan N Rajah.

Parlimen itu mempunyai sebanyak 72,395 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada 19 Nov ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS