Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria terus mengundang kritikan PKR atas dakwannya terhadap presiden parti itu, Anwar Ibrahim.
Kali ini, Timbalan Ketua Pemuda PKR Kamil Munim menuntut menuntut Razman memohon maaf atas dakwaannya bahawa Anwar mempunyai agenda LGBT dan menjadi boneka DAP.
Kamil yang juga calon PH bagi kerusi Parlimen Padang Rengas berkata bahawa Razman perlu bersikap lebih cermat dan tidak mengulangi kesilapan yang sama, iaitu membuat dakwaan tidak berasas.
"Razman ini, saya ingat dia kena lebih cermat. Dia tak boleh ulangi kesilapan yang sama.
'Dia ada rekod kalah saman fitnah banyak kali dan ini bukan budaya politik matang dan sejahtera yang dilaungkan oleh PAS.
"Kita tuntut Razman untuk membuat kenyataan maaf secara terbuka atas tuduhan-tuduhan yang jahat ke atas Anwar dan PH," katanya di hadapan lebih 100 hadirin di Kampong Jaya, Lubok Merbau semalam.
Sebelum ini, Razman juga calon DUN Gunung Semanggol dan juga antara calon menteri besar PN pada Ahad berulang kali memberi amaran semasa berkempen di pasar malam Tebuk Pancur supaya tidak mengundi PH dan BN.
Berkenaan PH, dia mendakwa Anwar yang juga pengerusi gabungan itu sebagai seorang yang mempunyai agenda LGBT yang mahu menghalalkan perkahwinan sejenis.
Dia juga mendakwa Anwar akan menyerahkan kuasa kepada DAP.
Susulannya, Anwar menerusi surat tuntutan (LOD) bertarikh 8 November lalu menuntut ganti rugi RM5 juta dan permohonan maaf secara terbuka daripada Razman atas dakwaan itu.
Satu laporan polis juga telah dibuat oleh calon PKR ke atasnya berkaitan dakwaan itu.
Razman sebelum ini pernah kalah saman fitnah kepada bekas menteri besar Perak Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng.
Sementara itu, Kamil berkata pimpinan PAS seharusnya menegur Razman agar tidak lagi membuat dakwaan seumpama itu.
"Siapa Razman ini? dia dapat pengiktirafan dari mana? Kalau dibandingkan dengan Anwar yang merupakan pemimpin Islam yang disanjungi di peringkat antarabangsa.
"Pemimpin PAS harus buat teguran keras kepada Razman untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama. Dia harus bertaubat daripada sikap yang tidak mencerminkan akhlak Islam," katanya lagi.