Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terima kasih Hamzah atas keprihatinan, kata Shamsul

Calon Pakatan Harapan kerusi parlimen Bagan Datuk Shamsul Iskandar Md Akin berkata bahawa dia percaya pengundi kawasan parlimen itu bijak dalam memilih ahli parlimen baru di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Terima kasih DS Hamzah di atas keprihatinan beliau (Hamzah Zainuddin).

"Saya sesungguhnya tidak terasa hati walaupun kemampuan saya diremehkan.

"Saya percaya kepada kebijaksanaan pengundi Bagan Datuk dan kita sama-sama tunggu 19 Nov nanti apabila keputusan diumumkan," katanya menerusi mesej ringkas kepada Malaysiakini malam ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah mendakwa PKR sengaja mahu Shamsul kalah di Parlimen Bagan Datuk.

Terdahulu, Hamzah dipetik FMT berkata bahawa Presiden PKR Anwar Ibrahim sengaja hantar Shamsul ke Bagan Datuk semata-mata kerana mahukan dia kalah.

Menurut Hamzah lagi, ini kerana Anwar nak pastikan Shamsul tiada lagi dalam parti sebab dia dikatakan pengikut bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali.

Shamsul dikenali sebagai 'pembunuh gergasi politik' selepas dua kali mengalahkan bekas ketua menteri Melaka, Ali Rustam di Hang Tuan Jaya pada PRU 2008 dan 2013.

Bagan Datuk merupakan kubu kuat Zahid yang memegang kerusi itu sejak 1995.

Dia mengekalkan kerusi itu pada 2018 dengan majoriti 5,073 undi dan meraih 51.4 peratus undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Bagaimanapun, kali ini presiden Umno itu akan berdepan dengan beberapa calon terkemuka tidak seperti yang berlaku sejak dua dekad lalu.

Kerusi Parlimen Bagan Datuk kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Selain Shamsul, Zahid juga dicabar calon PN Muhammad Faiz Na'aman dan calon bebas Tawfik Ismail - anak sulung timbalan perdana menteri kedua negara Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS