Sebanyak sepuluh projek pembangunan di Parlimen Bagan Datuk telah dibatalkan manakala 25 lagi ditangguhkan semasa di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, dakwa Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, calon kerusi Bagan Datuk itu mengingatkan tentang penganiayaan oleh musuh BN selama mereka menjadi 'kerajaan 22 bulan'.
"Merekalah yang kini PH dan PN dulu berkomplot untuk menzalimi masyarakat Bagan Datuk.
"Selepas PRU14 musuh BN ini bersepakat membatalkan 10 projek pembangunan utama di Bagan Datuk. Sebanyak 25 lagi projek pembangunan untuk rakyat Bagan Datuk ditangguhkan secara tiba-tiba.
"Alasan dibatalkan kerana implikasi kewangan amat menyakitkan hati kita semua, tetapi apakan daya. Seolah-olah tiada nilai Bagan Datuk serta masyarakatnya di mata mereka," katanya.
Zahid berkata, projek berkenaan adalah yang telah dirancang untuk Bagan Datuk di bawah Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11) dan telah diteliti, dinilai kos dan manfaatnya oleh kerajaan BN sebelum tewas pada PRU14.
Bagan Datuk diiktiraf sebagai daerah baharu ke-12 di Perak pada 2017. Sejak menjadi daerah baharu di Perak, pelbagai pembangunan telah dirancang oleh kerajaan BN membabitkan peruntukan berbilion ringgit.
"Namun, gara-gara anasir politik musuh BN jadi tidak berperikemanusiaan. Sanggup batalkan dan tangguh projek pembangunan lain di daerah tercinta kita,” bidasnya.
Justeru, Zahid yang juga adalah presiden Umno menggesa pengundi di Bagan Datuk supaya bangkit tanpa mengira sentimen politik untuk menyokong BN pada 19 Nov ini.
"Supaya mereka tahu erti penyesalan kerana pernah menganiaya dan menzalimi Bagan Datuk.
"Sekali gus terus mempertahankan kemakmuran dan kesejahteraan di Bagan Datuk dan Malaysia keseluruhannya," katanya.
Zahid, yang menjadi ahli Parlimen kawasan itu sejak 1995, akan berdepan cabaran daripada Shamsul Iskandar Mohd Akin dari PH, Muhammad Faiz Na'aman dari PN dan Tawfik Ismail, anak bekas timbalan perdana menteri Dr Ismail Abdul Rahman.