Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tidak dapat lakukan banyak sebab 'taufan' landa projek NFC - Salleh

Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFCorp) Mohamad Salleh Ismail merungut tentang rentetan kejadian demi kejadian yang begitu pantas seperti "taufan"sehingga membantukan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Dia berkata demikian semasa memberi keterangan pada perbicaraan hari ini berhubung saman sivil kerajaan untuk mendapatkan semula RM253.6 juta pinjaman yang diberikan untuk projek NFC di Gemas, Negeri Sembilan.

“Semuanya berlaku dengan sangat pantas. Pada tahun 2011, akaun kami dibekukan dan kami cuba menyelesaikannya dengan Amla (pihak berkuasa Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram).

“Kemudian wang kami itu dibekukan dan dirampas pada Mac 2012. Segala-galanya berlaku seperti taufan yang melanda kami. Kami tidak dapat buat banyak.

"Saya juga, pada 12 Mac 2012, didakwa atas tuduhan CBT (pecah amanah jenayah) oleh kerajaan," kata Salleh kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dia menjawab demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam kanan persekutuan Nurhafizza Azizan, yang mewakili kerajaan - plaintif dalam tindakan sivil itu.

Salleh - yang adalah suami kepada bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Shahrizat Abdul Jalil - dan tiga anaknya, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir, dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing dinamakan sebagai defendan pertama hingga kelima.

Defendan keenam hingga ke-11 ialah syarikat yang dikawal oleh keluarga Salleh - National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Corporation Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd, dan Technology Imageware (M) Sdn. Bhd.

Semalam, Bernama melaporkan Salleh memberi keterangan bahawa pinjaman RM253.6 juta itu tidak dapat dibayar balik kerana kerajaan tidak menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk projek NFC, seperti kegagalan membina rumah sembelih kualiti eksport (EQA), bagi membolehkan NFCorp bermula sepenuhnya.

Pada 12 Mac 2012, di hadapan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Salleh mohon dibicarakan atas empat pertuduhan. Bagaimanapun, pada 24 Nov 2015, dia dilepaskan dan dibebaskan daripada dua pertuduhan CBT dan dua pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS