Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ramai ingat saya bersama PH, Muhyiddin dengan BN'

Walaupun sudah meninggalkan Pakatan Harapan (PH) semasa Langkah Sheraton pada 2020, nampaknya sesetengah pengundi masih tidak menyedari bekas menteri besar Ahmad Faizal Azumu tidak lagi bersama gabungan itu.

Semasa berkempen untuk pilihan raya umum (PRU) ke-15, Faizal (gambar atas, berdiri) mendedahkan masih ada yang menganggap dia bertanding di kerusi parlimen Tambun mewakili PH.

"Ramai jumpa dan kata akan beri sokongan kepada saya dan pasukan tapi mereka akan memangkah PH. Mereka masih ingat saya pegang banner PH macam dulu.

"Ramai sangat yang tak ikut sangat (perkembangan politik semasa) kan? Mereka cakap ikut Peja, 'hidup Barisan'. Sebab saya sebahagian daripada kerajaan,” kata pengerusi PN Perak itu sambil ketawa.

Dia berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan sesi beramah mesra bersama pengundi Tambun pagi tadi.

Faizal mengaitkan kekeliruan itu berpunca daripada tempoh dia berkhidmat sebagai menteri belia dan sukan selepas digulingkan sebagai menteri besar Perak.

"Dia nampak perdana menteri dari BN, menteri besar dari BN.

"(Mereka) lupa Umno tolak perpaduaan ummah dalam kalangan Bersatu, PAS dan Umno. Kita terpaksa berjalan sendiri dalam PN. Orang tak berapa perasan," katanya.

Fazial mendedahkan bukan dia seorang sahaja yang disilap anggap sebagai ahli gabungan PH kerana bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin juga berada dalam keadaan yang sama.

"Ramai kata sokong 'Abah' (gelaran pada Muhyiddin), sokong BN. Mereka fikir Muhyiddin masih lagi dalam BN,” katanya.

Oleh itu, Faizal berkata terdapat keperluan untuk usaha berterusan dalam memperkenalkan pemimpin PN dan ketua gabungannya sebagai pemimpin PN.

“Walaupun ia hanya kumpulan minoriti, ia masih penting. Kita perlu mendidik mereka.

"Terdapat banyak lagi yang perlu kami hubungi dan kami akan melakukannya jika kami boleh," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS