Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jejaka idaman' Arau tekad pastikan MB Perlis kalah teruk

Walaupun sudah terbuang dari parti asalnya, penyandang kerusi Parlimen Arau Shahidan Kassim menganggap dirinya masih 'jejaka idaman Malaya' di kawasan itu.

Tampil bertanding dengan tiket Perikatan Nasional (PN) untuk mempertahankan kemenangannya, Shahidan juga mahu menjadi 'panglima penyatuan ummah' sebagai kesinambungan karier politiknya.

Bercakap soal tumpuan kempen pada PRU kali ini, Shahidan berkata antara tumpuannya kini adalah mahu memastikan Menteri Besar Perlis Azlan Man tewas dalam usaha memenangkan PN di negeri itu.

Dia mendakwa Azlan sebagai pengerusi Umno negeri melanggar keputusan Umno bahagian dalam isu pencalonan.

"Pengerusi (Umno) negeri membuat percaturan yang melanggar keputusan bahagian. Maka dia juga patut ditewaskan dengan dahsyatnya di DUN Bintong.

"Matlamat kita adalah untuk jatuhkan menteri besar dengan dasyatnya. Saya akan pergi ke Bintong untuk berkempen dan menceritakan keadaan yang sebenarnya.

"Orang seperti ini patut dikalahkan kerana dia ganggu politik Perlis," katanya pada sidang media di Arau, hari ini.

Azlan Man

DUN Bintong terletak di dalam kawasan Parlimen Kangar.

Shahidan sememangnya pernah berseteru dengan Azlan sebelum ini. Selepas PRU14, dia menentang pelantikan semula Azlan sebagai menteri besar.

Penentangan itu membawa kepada sembilan Adun memboikot majlis pelantikan Azlan di Istana Arau.

Shahidan sebagai pengerusi BN Perlis ketika itu tidak bersetuju dengan pelantikan Azlan sebaliknya dilaporkan mahu mengangkat adiknya, Ismail Kassin yang juga penyandang DUN Tambun Tulang sebagai menteri besar.

Sementara itu Shahidan yang juga bekas menteri besar Perlis berkata, dia yakin akan berjaya mempertahankan Parlimen Arau berdepan calon BN Rozabil Abd Rahman dan calon PH Fathin Amelina Fazlie.

Berdasarkan culaan semasa, katanya, 16,000 pengundi PAS akan berpihak kepadanya selain 10,000 undi orang Umno dan pengundi muda.

"Saya tengok orang muda sudah bersama 'jejaka idaman Malaya', orang muda ada 12,000 pengundi di Arau. Kalau separuh undi orang muda saya dapat bermakna calon nombor dua (dirinya) akan dapat hingga 35,000 undi," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS