Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata dia akan bertemu dengan calon Parlimen Sungai Buloh dari parti itu, R Ramanan berhubung pengisytiharan harta yang dibuatnya sebelum ini.
Memberi sedikit kelonggaran kepada muka baru dalam PKR itu, Rafizi berkata bukan semua orang selesa untuk menyenaraikan seluruh aset yang dimiliki secara terperinci.
"Ada calon yang baru, Ramanan salah seorang dari mereka.
"Jadi saya tak terkejut jika baginya itu bukan perkara biasa, tidak seperti saya. Untuk senaraikan semua, jelaskan semua," katanya kepada pemberita selepas ceramah di Batu Pahat, Johor semalam.
Dia berkata lagi, pengisytiharan harta dibuat untuk menggalakkan pengundi mempertanggungjawabkan ahli politik agar mereka tidak menyalahgunakan kedudukan untuk mengumpul kekayaan.
Menurut pengisytiharan harta Ramanan, dia memiliki aset bersih berjumlah RM63.5 juta, termasuk termasuk RM4 juta dalam bentuk barang kemas, RM27 juta dalam "kediaman" (kediaman), RM8.5 juta dalam kereta dan motosikal dan RM3.5 juta dalam saham dan skim pelaburan insurans.
Namun bekas pemimpin MIC itu hanya menyatakan jumlah keseluruhan bagi setiap kategori aset, tampa memperincikan butirannya.
Dia juga tidak memperincikan jumlah simpanan, simpanan tetap, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan deposit lain, dan hanya memberikan jumlah RM23 juta.
Dikritik berhubung perkara itu, Ramanan menepis kritikan yang menuduh dia tidak telus sepenuhnya apabila tidak memberikan pecahan pengisytiharan asetnya.
"Kalau tanya saya, saya tak fikir penduduk Sungai Buloh nak tahu sama ada aset saya, berapa cincin saya ada, berapa jam tangan saya ada, berapa rantai leher saya ada," katanya sambil menggesa pihak yang mengkritiknya agar turut menggesa lawannya di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin untuk melakukan pengisytiharan yang sama.
Pengisytiharan harta yang dibuat calon PKR boleh dilihat di sini.