Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LRT dari Kelana Jaya hingga Ampang Park ditutup seminggu
Diterbitkan:  Nov 9, 2022 9:12 AM
Dikemaskini: 10:25 AM

Perkhidmatan LRT bermula di stesen Kelana Jaya hingga Ampang Park dijadual ditutup sementara selama tujuh hari, bermula hari ini hingga 15 November.

Ia melibatkan 16 stesen yang kebanyakannya terletak di antara kawasan paling padat di Lembah Klang.

Stesen yang terlibat adalah Kelana Jaya, Taman Bahagia, Paramout, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, dan Bangsar, Abdullah Hukum, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.

Menurut Rapid KL, stesen-stesen lain akan beroperasi seperti biasa namun perkhidmatannya tamat pada jam 11 malam, iaitu kira-kira sejam lebih awal.

Pengumuman berkenaan penutupan itu dibuat kira-kira pada jam lima pagi ini di akaun media sosial syarikat itu.

Semalam, perkhidmatan di 16 stesen tersebut tergendala ketika waktu puncak, mencetuskan kemarahan kepada pengguna yang rata-ratanya dalam perjalanan pulang dari kerja.

Ini merupakan gangguan perkhidmatan terburuk sejak LRT aliran Kelana Jaya mula beroperasi pada 1998.

Sejak tahun lalu, ramai pengguna merungut berkenaan masalah seperti kelambatan dan masa menunggu antara tren yang lama, menyebabkan stesen menjadi sesak ketika waktu puncak.

Masalah itu lazimnya berlaku apabila penyelenggaraan tren dilakukan.

Pada Jun lalu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata kekerapan tren akan disingkatkan kepada setiap tiga minit selepas lebih banyak gerabak yang rosak siap diperbaiki.

Ketika itu juga, Rapid KL menjelaskan beberapa gerabak dikeluarkan dari perkhidmatan untuk penyelenggaraan lebih awal daripada jadual untuk membaiki sistem breknya.

LRT aliran Kelana Jaya adalah aliran yang paling banyak digunakan, iaitu seramai 330,000 pengguna di waktu puncak setiap hari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS