Paling Popular
Terkini

Selepas gugur daripada pencalonan, ketiadaan ketua BN Selangor Noh Omar daripada jejak kempen di Tanjong Karang menimbulkan tanda tanya.

Apatah lagi Noh selaku bekas wakil rakyat parlimen itu selama enam penggal dilihat hadir berkempen untuk rakan-rakannya di kawasan lain.

Pun begitu, ketika ditemui di luar ceramah oleh calon BN Sungai Buloh Khairy Jamaluddin malam tadi, Noh mempunyai penjelasan tersendiri kerana masih belum berkempen di Tanjong Karang.

"Tanjung Karang kawasan putih," katanya ringkas merujuk istilah yang menunjukkan kemungkinan besar BN bakal menang di situ.

"(Nanti) akan datanglah (berkempen)," jelasnya lagi.

Justeru, Noh berkata dia menyokong calon BN Selangor di kawasan yang lebih genting, seperti Sungai Buloh, dengan BN kalah di semua daerah mengundi pada 2018.

Dia juga menyertai kempen BN untuk calon kali pertama Tengku Zafrul Aziz di Kuala Selangor, yang berjiran dengan Tanjung Karang.

Noh digugurkan daripada senarai pencalonan walaupun dilaporkan cuba memujuk Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi untuk mengekalkannya di kerusi itu.

Dia digantikan oleh Ketua Wanita Umno Tanjong Karang Habibah Mohd Yusof.

Bagaimanapun, orang dalam parti berkata Habibah menghadapi kesukaran berkempen susulan sokongan terhad daripada cawangan tempatan yang tidak berpuas hati dengan keputusan mengetepikan Noh.

Dalam pertembungan lima penjuru, Habibah berdepan calon Muda Siti Rahayu Baharin, Zulkafperi Hanapi daripada PN, calon Gerakan Tanah Air (GTA) Azlan Sani Nawawi dan calon bebas Mohd Rosni Mastol.

Mohd Rosni (gambar, bawah) bekas pegawai khas Noh di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata dia bertanding bagi menghantar mesej kepada pucuk pimpinan BN supaya bertindak adil.

Noh digugurkan daripada senarai calon bersama menteri kabinet lain, termasuk Annuar Musa dan Shahidan Kassim.

Terdapat desas-desus yang mengaikatkan tindakan mengejutkan ini dengan keretakan dalam Umno, antara Zahid dan perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob.

Shahidan kini bertanding menentang BN di Arau atas tiket PN, manakala Annuar menyertai Noh berkempen untuk BN di Sungai Buloh semalam.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS