Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kestabilan dan kebajikan antara harapan pengundi kali pertama

Pilihan raya umum (PRU) ke-15 pada 19 Nov ini akan menyaksikan buat pertama kali pengundi berumur 18 tahun akan layak menyertai proses demokrasi dalam mengundi wakil rakyat mereka.

Ini selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan yang menurunkan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun, sekali gus melayakkan 1,141,749 orang iaitu 5.4 peratus pengundi berusia 18 hingga 20 tahun untuk mengundi kali ini.

Malaysiakini baru-baru ini melakukan tinjauan terhadap beberapa pengundi yang pertama kali bakal mengundi.

Rata-rata pengundi baru yang ditemui merupakan pelajar di institut pengajian tinggi, yang menyatakan pelbagai harapan dalam penyertaan pertama kali mereka dalam proses demokrasi pada PRU ke-15 ini.

Seorang pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Iman Razali, 23, mengharapkan pengundian pada PRU ke-15 menjadikan negara Malaysia lebih baik terutama dari segi kestabilan politik dan ekonomi.

“Macam sekarang kan pimpinan pun, politik dia berkait dengan ekonomi. Macam negara macam tak stabil.

“Jadi nak negara yang ke arah lebih harmoni lebih maju ke depan, politik tu memainkan peranan lah.

“Jadi sebagai negara yang ada demokrasi, kita rakyat, jadi kena lakukan tanggungjawab kena mengundi dengan harapan supaya dapat pimpinan yang lebih baik memajukan negara,” katanya yang bakal mengundi di parlimen Rasah.

Sementara itu, Kok Khai, 20, pelajar jurusan pentadbiran perniagaan di universiti sama berkata, sebagai warganegara Malaysia, dia berharap pengundian ini dapat menjamin masa depan negara berdasarkan pemimpin pilihannya.

“Saya haraplah pilihan saya dapat menjamin masa depan negara Malaysia yang lebih baik dengan memilih pemimpin yang lebih berwibawa dan fokusnya adalah untuk menambah baik rakyat dan kehidupan rakyat serta negara Malaysia,” ujarnya.

Sebagai pengundi di parlimen Petaling Jaya juga katanya, dia akan memilih pemimpin berdasarkan kewibawaan calon yang diletakkan.

“Saya akan memilih berdasarkan kewibawaan kerana ia memainkan peranan penting dalam negara.

“Negara memerlukan seorang pemimpin bijak yang dapat melihat sesuatu perkara secara berwawasan supaya sediakan payung sebelum hujan.

“Pemimpin yang sedia dan berniat untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat penting dalam menjaga taraf hidup rakyat Malaysia,” tambahnya lagi.

Undi bersasarkan rekod prestasi

Muhamad Fadli Mohamad Azizi, 21, yang merupakan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di Selangor berkata pilihannya adalah kerajaan yang mampu mengutamakan kebajikan rakyat dan negara ini.

Muhamad Fadli Mohamad Azizi

“Saya berharap sebagai rakyat Malaysia dapat memilih kerajaan yang baik dan bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan rakyat serta negara,” katanya yang mengakui teruja pertama kali mengundi.

Dia yang akan mengundi di parlimen Selayang juga menyatakan calon wakil rakyat yang akan dipilih nanti mestilah dilihat berdasarkan rekod prestasi sebelum ini.

“Bagi saya cara saya memilih calon berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang memimpin dan perubahan atau kebaikan yang mereka buat pada masyarakat sebelum-sebelum ini.

“Selain itu, saya melihat dari segi pelajaran mereka dan politik mereka sepanjang saya mengenali PRU,” jelasnya yang juga merupakan presiden salah satu fakulti di universiti itu.

Arif Zakwan Mohd Fisol

Arif Zakwan Mohd Fisol, 23, yang akan mengundi di Nibong Tebal menginginkan kestabilan negara supaya semakin baik dan aman setelah pilihan raya serta mahukan pemimpin yang membuat kerja dan patuh ajaran agama.

“Saya nak tengok aman dari segi tiada pergaduhan, macam tak mahu tengok pergaduhan menteri-menteri dan ahli politik dalam parlimen rebut jawatan.

“Kalau calon ni hanya sekadar cakap dan tak buat apa yang dia cakap itu calon yang tak berfungsi lah.

“Saya pilih calon yang banyak bantu rakyat dan ikut ajaran agama,” kata pelajar tahun akhir UiTM itu.

Shane Theseira

Sementara itu, Shane Theseira, 23, yang juga merupakan pelajar turut berharap kestabilan akan dapat dicapai selepas rakyat memilih wakil rakyat.

“Isu seperti perkauman dan kemiskinan amat perlu ditangani.

“Harapan saya agar wakil rakyat baru kawasan kami benar-benar meluangkan masa untuk memastikan isu-isu ini dibanteras,” katanya.

Kebebasan mahasiswa

Durrah Malek

Durrah Malek, 24, pula berharap isu kebebasan mahasiswa untuk terlibat dalam proses demokrasi dapat diberi perhatian.

“Saya rasa isu batasan ruang demokrasi untuk pelajar adalah salah satu perkara yang penting bagi saya.

“Saya aktif dengan gerakan mahasiswa dan sejak kebelakangan ini terdapat banyak ugutan dan usaha untuk mengehadkan ruang-ruang tersebut, seperti Draf Undang-Undang Universiti baru-baru ini yang mahu mengetatkan lagi ruang wacana menerusi Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

“Pendapat saya sebagai pelajar universiti muda yang berintelektual, mengehadkan ruang demokrasi mereka adalah menafikan ruang untuk pembangunan pemimpin muda.

“Kalau kita tidak mengadakan ruang untuk wacana sihat dalam demokrasi, kita tidak akan mencipta minda kritis yang akan dilakukan,” jelasnya.

Selain pelajar, terdapat juga golongan yang sudah bekerja bakal pertama kali mengundi pada pilihan raya kali ini.

Ahmad Asyraf

Ahmad Asyraf, 24, seorang pembangun perisian mengharapkan isu seperti pengangkutan awam, kos sara hidup, banjir dan perkahwinan bawah umur diambil peduli.

Katanya, beberapa isu ini sedang ditangani tetapi kurang dari segi pelaksanaan.

Dia yang teruja akan mengundi di Tambun pada pilihan raya ini menyatakan undi yang dipilihnya adalah berdasarkan parti.

“Saya difahamkan sistem pilihan raya yang digunakan di negara ini lebih berasaskan parti berbanding dengan Amerika Syarikat, kita tidak mengundi secara langsung siapa yang menjadi perdana menteri.

“Parti yang memenangi pilihan raya akan mengemukakan calon untuk menjadi perdana menteri di hadapan Agong.

“Oleh itu, saya akan mengundi calon saya berdasarkan parti mereka walaupun calon itu tidak cukup menyumbang kepada Tambun berbanding calon lain,” jelasnya.

Phyllis Chong

Namun begitu, terdapat juga individu yang ditemu bual memberitahu tidak akan turun mengundi pada pilihan raya.

Pembangun aplikasi mudah alih, Phyllis Chong, 22, (gambar) berkata alasan dia tidak mengundi kerana tidak berminat.

“Secara peribadi, saya tidak mahu (mengundi) kerana saya tidak pernah berminat tentang politik dan saya tidak fikir akan membawa sebarang perbezaan,” katanya.

Namun, dia masih berharap isu gaji minimum diberi perhatian dan ditangani.

“Saya rasa gaji minimum perlu dinaikkan memandangkan kos sara hidup di Malaysia, secara amnya, perlahan-lahan meningkat selepas wabak Covid-19 melanda kita.

“Sebagai graduan baru, saya juga menyedari bahawa sesetengah majikan sedang mencari untuk mengambil graduan baru dengan syarat minimum yang tidak masuk akal yang hampir mustahil untuk graduan baharu penuhi sambil membayar mereka sedikit melebihi gaji minimum bagi pemegang ijazah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS