Paling Popular
Terkini

Berdepan pertandingan lima penjuru termasuk seorang daripadanya tokoh negarawan dan bekas perdana meteri, Dr Mahathir Mohamad, namun Zabidi Yahya tidak patah semangat membawa cabaran PH di Langkawi.

Ketua Amanah kawasan Langkawi itu berkata, sebagai anak jati pulau peranginan berkenaan, dia memiliki kelebihan dan sesuai dengan kehendak masyarakat di situ.

Katanya, rata-rata pengundi yang ditemui selepas memasuki hari ketiga kempen menunjukkan respon positif.

"Sebagai anak tempatan Langkawi saya mempunyai kelebihan berbanding calon-calon lain yang bukan lahir dan membesar di sini.

"Respon orang ramai juga semakin baik lebih-lebih lagi mereka tahu saya orang tempatan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Zabidi, 54, juga menyatakan bagi penduduk di Pulau Langkawi mereka lebih mengutamakan orang tempatan berbanding orang luar kerana mereka selesa hidup dengan semangat kebersamaan.

Apa yang penting, katanya, dalam tempoh berkempen dia cuba bertemu seramai mungkin pengundi bagi menyampaikan hala tuju yang akan PH laksanakan di Langkawi jika diberi mandat.

Selain Zabidi dan Mahathir selaku penyandang kerusi Langkawi, ada tiga lagi calon yang akan bertanding di situ iaitu Armishah Siraj dari BN, Mohd Suhaimi Abdullah (PN) dan Abd Kadir Sainudin (bebas).

Mahukan YB dalam kawasan

Pada PRU ke-14 lalu, Mahathir memenangi kerusi Langkawi sebagai calon PH dengan majoriti 8,893 undi menewaskan calon BN, Nawawi Ahmad, dan Zubir Ahmad (PAS).

Sementara itu ditanya apakah perkara yang menjadi keutamaan dan hala tuju untuk masyarakat Langkawi jika dia menang, Zabidi berkata, gerak kerjanya sudah bermula sejak selepas PRU pada 2018.

Antara yang menjadi tumpuan, katanya, ialah hal ehwal kebajikan penduduk dan pembangunan sektor pertanian.

Selain itu, katanya, dia juga memahami permasalahan dihadapi penduduk Langkawi yang perlu diatasi dengan tuntas seperti isu pengangkutan feri, kenaikan harga barangan mentah dan sara hidup serta kemudahan infrastuktur.

"Selepas PRU ke-14 saya tubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Skuad Harapan Langkawi yang banyak menjalankan aktiviti kebajikan dengan memberi fokus membantu golongan marhaen.

"Selain itu saya juga tubuhkan komuniti pekebun kecil dalam usaha memperkasa hasil pertanian peringkat tempatan di samping menambah pendapatan golongan petani," jelasnya.

Walaupun sedar dengan pengaruh yang ada pada Mahathir, Zabidi berkata, apa yang penting masyarakat Langkawi mahukan seorang wakil rakyat yang sentiasa berada dalam kawasan mereka.

"Kita tidak nafikan hormat kepada Mahathir atas jasa-jasanya, namun adalah penting untuk seorang wakil rakyat sentiasa berada di dalam kawasan bukan sekadar mempunyai wakil di pejabat pusat khidmat semata-mata.

"Saya yakin dengan situasi politik yang berubah berbanding sebelum ini, saya masih boleh mengekalkan undi daripada penyokong PH, golongan anak muda dan pengundi atas pagar.

"Selebihnya saya akan usaha sedaya-upaya, berdoa dan tawakal," kata Zabidi yang juga bekas jurutera.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS