Banjir kilat melanda beberapa kawasan di Shah Alam berikutan hujan lebat petang ini, menurut pelbagai perkongsian di media sosial.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini juga mengeluarkan amaran hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia sehingga 11 November ini.
Sekali gus, situasi itu menaikkan paras amaran hujan kepada kuning (waspada - cautious) bagi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
Difahamkan, kawasan terjejas di Shah Alam termasuk Seksyen 32 dan Sri Muda, yang dilanda banjir teruk pada Disember tahun lepas.
"Katanya di Sri Muda sudah mula naik air. Sama-sama kita berdoa agar hujan berhenti segera dan tidak mengakibatkan banjir lebih besar. Seluruh jentera pasukan Perikatan Nasional (PN) telah siap siaga untuk hadapi apa juga kemungkinan," kata Afif Bahardin, yang merupakan calon PN untuk Shah Alam, di Twitter.
Dia turut melampirkan klip video pendek yang menunjukkan air melimpah ke dalam perkarangan yang kelihatan seperti sebuah rumah teres.
Sementara itu, Calon Pakatan Harapan (PH), Azli Yusof membatalkan ceramah yang dijadual pada jam 9 malam di Seksyen 16, Shah Alam.
Petugas kempennya memberitahu pemberita dalam kumpulan Whatsapp bahawa ceramah berkenaan dibatalkan bagi memberi tumpuan kepada persiapan sekiranya berlaku banjir.
Menurut beberapa gambar yang dimuat naik oleh seorang lagi netizen, beberapa jalan di Seksyen 32, Shah Alam dilanda banjir kilat paras buku lali.
Salah satu gambar turut menunjukkan tiga individu menolak sebuah kereta ke kawasan tinggi.
“Seksyen 32 Shah Alam dah mula banjir,” kata netizen yang menggunakan nama @heyizwanizzat.
"Seksyen 17, 18 dan 24 juga mengalami banjir," ciap @_AmirulBob.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi berkata analisisnya meramalkan kepekatan angin berlaku di pantai timur Semenanjung dan di barat Sarawak.
“Ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan yang boleh mengakibatkan hujan lebat dan angin kencang di pantai timur Semenanjung sehingga 11 November ini.
“Pada masa sama, negeri di sepanjang pantai barat Semenanjung dan Sarawak juga dijangka mengalami lebih banyak hujan lebat dan ribut petir pada sebelah petang sehingga waktu malam,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 3.30 petang.