Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon BN Pengkalan Chepa dakwa universiti 'iktiraf' ijazahnya
  • Editor: Tajuk dan para kedua berita ini diubah supaya memberikan gambaran lebih tepat. Maklumat tambahan juga ditambah pada perenggan terakhir dan kedua terakhir.


Calon BN bagi kawasan parlimen Pengkalan Chepa hari ini mendakwa "kebenaran terbukti" dan tidak ada lagi timbul isu dia mengelirukan orang ramai dengan gelaran doktornya.

Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin juga menyifatkan "fitnah" itu terjawab apabila universiti tempat dia belajar “mengiktiraf” ijazahnya.

"Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi. Akhirnya kebenaran terbukti.

"Kepada musuh politik yang menyebarkan fitnah berkenaan sijil yang saya miliki (kononnya) palsu dan saya tak habis belajar, saya harap individu itu memohon maaf," katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Pengkalan Chepa, hari ini.

Dia bagaimanapun tidak mengemukakan bukti bagi menepis dakwaan itu.

Sebelum ini ada warganet mempersoalkan kelayakan calon yang dikemukakan BN bagi cuba merampas kerusi Pengkalan Chepa di Kelantan.

Antara isu yang dibangkitkan ialah kelulusan akademiknya. Dia dikatakan memiliki ijazah muda perubatan dari Fakulti Kedoktoran, Universiti Gadjah Mada di Indonesia.

Sesetengah pihak juga mempertikaikan penggunaan gelaran "Dr" pada namanya selepas semakan pada pangkalan data Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mendapati tiada namanya didaftarkan.

Harap betulkan keadaan

Bagaimanapun Mohd Hafiezulniezam menafikan tuduhan berkenaan.

Dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Pengkalan Chepa.

Pada 7 Nov lalu Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, berkata seseorang itu boleh dikenakan tindakan juga menggunakan gelaran doktor tanpa sijil yang sah daripada MMC.

Katanya individu yang tidak melengkapkan pengajiannya dan menyelesaikan latihan amali mengikut syarat ditetapkan serta tiada kelulusan daripada MMC, maka dia tidak boleh menggunakan gelaran doktor.

Mohd Hafiezulniezam hari ini berkata dia sedia memaafkan mana-mana pihak yang "memfitnahnya" berhubung perkara itu.

"Jika individu itu sebar fitnah untuk kepentingan diri, saya harap dia membetulkan semula keadaan. Saya berbesar hati untuk memaafkan.

"Namun, jika mereka sebar fitnah atas dasar tugas untuk menjatuhkan saya dan bekerja dengan parti lain, teruskan kerja itu sumber rezeki," katanya lagi.

Sementara itu, semakan Malaysiakini di laman Pangkalan Data Pendidikan Tinggi Indonesia mendapati terdapat calon bernama "Mohd Hafiezulniezam" dengan status "hilang".

Bagaimanapun tidak jelas sama ada ia adalah orang yang sama atau mempunyai nama yang sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS