Paling Popular
Terkini

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dan isterinya Wan Azizah Wan Ismail akan mengisytiharkan harta mereka sebagai sebahagian daripada pengisytiharan harta calon pilihan raya PKR, petang ini.

Menurut Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR Rodziah Ismail, kelewatan pengisytiharan kedua-dua pemimpin PKR itu disebabkan kekangan masa, tetapi menurutnya pengisytiharan itu boleh dilihat di laman web calon pemilihan PKR lewat petang ini.

“Anwar teramat sibuk, kali ini strict sikit. Kali ini saya minta akuan bersumpah. Jadi insya-Allah mungkin masa beliau terlalu ketat, maklumat tu semua dah ada dan akuan bersumpah yang perlu dibuat di hadapan pesuruhjaya sumpah. Dalam hari ini insya-Allah,” katanya.

Dilaporkan semalam kebanyakan daripada 72 calon parlimen PKR untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) telah menyiarkan pengisytiharan aset mereka.

Walau bagaimanapun, entri untuk butiran Anwar dan Wan Azizah telah ditandakan "akan dikemas kini".

Awal hari ini, calon Sungai Buloh PH R Ramanan menepis kritikan yang menuduh dia tidak telus sepenuhnya apabila tidak memberikan pecahan pengisytiharan asetnya.

Ini selepas dia mengisytiharkan aset bersih RM63.5 juta, termasuk RM4 juta barang kemas, tetapi tidak memberikan butiran terperinci, seperti yang dikehendaki parti.

Mengulas lanjut, Rodziah yang ditugaskan memastikan semua calon pilihan raya PKR menyerahkan pengisytiharan aset, berkata ada calon tertentu telah mengisytiharkan aset bernilai lebih RM100 juta.

Dia bagaimanapun tidak menyebut nama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS