Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rodziah: Zuraida hanya menumpang nama PKR di Ampang

Calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Ampang, Rodziah Ismail menolak dakwaan Zuraida Kamaruddin yang mendakwa dirinya sebagai ‘jenama’ sendiri di kawasan itu setelah memegang kerusi berkenaan selama tiga penggal.

Rodziah sebaliknya berkata Zuraida hanya menumpang ‘jenama’ PKR.

“Jenama itu dia ambil ataupun dia tumpang di bawah Keadilan. Orang marah dengan dia sekarang sebab dia mendukung parti Keadilan pada ketika itu,” katanya kepada pemberita ketika sesi turun padang menemui penduduk di Ampang, Selangor hari ini.

Mengimbas insiden Langkah Sheraton yang menyaksikan sekumpulan ahli parlimen PKR, termasuk Zuraida berpaling tadah pada awal 2020, Rodziah menyifatkan pemimpin Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu telah mengkhianati jenama tersebut.

“Memang kita tak nafikan beliau tiga penggal, beliau ada usaha-usaha turun padang yang dia buat, itu kita tak nafikan.

“Tapi ada satu perkara yang dia lupa, dengan jenama itu juga sebenarnya dia dah khianati, dia dah khianati jenama itu, dan dengan itu orang menolak individu itu,” katanya.

Rodziah berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Zuraida bahawa dia mempunyai kelebihan di kerusi berkenaan kerana dirinya sudah menjadi jenama di situ, memandangkan pengundi di Ampang telah mengenalinya.

Anwar, Azizah isytihar harta lewat petang ini

Sementara itu, katanya Presiden PKR Anwar Ibrahim dan isterinya Wan Azizah Wan Ismail akan mengisytiharkan harta mereka lewat petang ini.

Timbalan pengarah pilihan raya PKR itu berkata kelewatan berlaku disebabkan kekangan masa tetapi lewat petang ini, ia akan terpapar di laman web calon parti.

“Anwar teramat sibuk, kali ini strict sikit. Kali ini saya minta akuan bersumpah. Jadi insya-Allah mungkin masa beliau terlalu ketat, maklumat tu semua dah ada dan akuan bersumpah yang perlu dibuat di hadapan pesuruhjaya sumpah. Dalam hari ini insya-Allah,” katanya.

Semalam dilaporkan, kebanyakan daripada 72 calon parlimen pilihan raya PKR telah menyiarkan pengisytiharan harta mereka di laman web calon parti itu.

Bagaimanapun, pengisytiharan aset calon Tambun dan Bandar Tun Razak PH itu tidak ada, dan ditandakan sebagai "akan dikemas kini".

Ada calon PKR isytihar harta lebih RM100 juta

Sebagai individu parti yang bertanggungjawab untuk memastikan semua calon menghantar pengisytiharan harta mereka, Rodziah berkata setakat ini masih ada 14 calon lagi yang masih belum berbuat demikian atau pengisytiharaan mereka tidak lengkap.

Antara mereka, termasuk calon Sungai Buloh R Ramanan yang tidak memperincikan butiran aset, liabiliti dan perbelanjaannya. Dia sebaliknya hanya memberikan angka penuh.

Dia mengisytiharkan RM63.5 juta dalam aset bersih, termasuk RM4 juta dalam bentuk barang kemas, kediaman yang bernilai RM27 juta, kereta dan motosikal sebanyak RM8.5 juta dan RM3.5 juta lagi dalam bentuk saham dan skim pelaburan insurans.

Ketika diminta mengulas berhubung perkara itu, Rodziah berkata ada calon yang mempunyai harta keseluruhan yang lebih banyak daripada jumlah tersebut, iaitu RM100 juta.

Namun, dia tidak mendedahkan individu berkenaan.

“Untuk Ramanan, dia banyak pages dia. Kita minta dia perincikan dan pamerkan juga. Saya kata calon kami ada yang negatif, sederhana, ada yang lebih RM100 juta,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung sama ada ini akan menjejaskan imej PH pada pilihan raya umum ke-15 ini, atau tidak, Rodziah berkata ia budaya yang masyarakat Malaysia perlu biasakan sebelum menceburi gelanggang politik.

“Kita akan keep track, setahun, dua tahun bagaimana aset itu mereka uruskan.

“Bukan kaya miskin, kita berprinsip, kita ada nilai yang kita nak tunjukkan, tak malu isytihar kedudukan kewangan kita sama ada kita berduit atau tidak berduit,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS