Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Penduduk Sg Buloh tak nak tahu berapa cincin saya ada'
Diterbitkan:  Nov 8, 2022 3:08 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Calon Pakatan Harapan (PH) Sungai Buloh R Ramanan menepis kritikan terhadapnya yang mendakwa dia tidak telus sepenuhnya apabila tidak memberikan pecahan pengisytiharan asetnya.

Ramanan mengisytiharkan aset bersih RM63.5 juta, termasuk RM4 juta barang kemas, tetapi tidak memberikan butiran terperinci, seperti yang dikehendaki parti.

"Kalau tanya saya, saya tak fikir penduduk Sungai Buloh nak tahu sama ada aset saya, berapa cincin saya ada, berapa jam tangan saya ada, berapa rantai leher saya ada.

"Saya dah buat deklarasi saya, jadi cybertrooper BN ni, saya tanya balik pada mereka, tanya Khairy Jamaluddin apa asset declaration dia?

"Bila ditanya, 'saya dah declare pada PM'. Tanya, saya dah declare pada SPRM'. Jangan. Penduduk Sungai Buloh nak tahu" kata Ramanan kepada kepada pemberita di kawasan itu semalam.

Dia menambah bahawa pengisytiharan aset oleh kebanyakan calon PKR menunjukkan mereka "tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan".

Sebahagian daripada pengisytiharan aset calon Pakatan Harapan bagi Sungai Buloh R Ramanan

Terdahulu, calon BN Sungai Buloh Khairy berkata adalah tidak perlu bagi calon untuk mengisytiharkan harta mereka kepada umum.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa kebanyakan calon PKR telah menyiarkan pengisytiharan aset mereka di laman web calon parti itu.

Bagaimanapun, pengisytiharan presiden parti Anwar Ibrahim, isterinya Dr Wan Azizah Azizah Ismail, dan setiausaha agung parti Saifuddin Nasution Ismail, masih belum selesai.

Malaysiakini juga melaporkan bahawa tidak semua pengisytiharan adalah telus seperti yang lain, dengan sesetengahnya, seperti Ramanan, hanya memberikan angka keseluruhan dan tidak memberikan pecahan aset.

Calon lain, seperti menteri besar Selangor dan Negeri Sembilan, membuat perincian termasuk memberikan nombor lot hartanah yang mereka miliki.

Hanya calon PKR dan PSM yang telah mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS