Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon BN Bachok: PAS peralat Kelantan untuk angkat pemimpin parti

Calon BN bagi parlimen Bachok, Mohd Zain Yassim mendakwa PAS menganggap Kelantan semata-mata sebagai alat untuk mengangkat pemimpin parti mereka dan akan meninggalkan tanggungjawab menjaga rakyat selepas memenangi pilihan raya.

Tambah Mohd Zain, rakyat Kelantan tidak seharusnya dijadikan alat bagi memenuhi kehendak PAS untuk mengangkat pemimpinnya dan bukannya berkhidmat untuk rakyat.

"PAS ini macam tidak begitu serius kepada matlamat asal. Sebenarnya kita nak lahirkan pemimpin untuk kita bangunkan masyarakat setempat, khususnya dari segi taraf pendidikan, prasarana.

"Tetapi apabila (PAS) menempatkan pemimpin (calon) dari luar ia tidak kesampaian kerana sejarah telah terbukti di Kelantan ini menjadi tempat untuk menaikkan nama besar (pemimpin PAS).

"Akhirnya matlamat asal untuk membangunkan masyarakat dipinggirkan," katanya ketika ditemui semasa berkempen di Bachok, hari ini.

Calon BN bagi parlimen Bachok, Mohd Zain Yassim.

Parlimen Bachok akan menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan BN diwakili Mohd Zain yang juga ketua Umno Bachok, sementara PAS pula mempertaruhkan Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman sebagai calon.

Tiga lagi calon membabitkan Nor Azmiza Mamat dari Pakatan Harapan (PH) serta Kamarul Azam Othman mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan calon bebas Mohd Zulkifli Zakaria.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu kerusi parlimen Bachok dimenangi Nik Abduh Nik Aziz yang berjaya menewaskan calon BN, Awang Adek Hussin dan PKR, Mohd Zulkifli Zakaria dengan majoriti 3,292 undi.

Nik Abduh memperoleh 36,188 undi, BN (32,896) dan PKR (4,880).

Mengulas mengenai pembangkang yang mendakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi perdana menteri jika BN berkuasa Mohd Zain menafikan dakwaan itu.

"Ini soal muktamad, ini kita bukan saja buat (keputusan) dalam majlis kerja tertinggi (MKT) Umno, malah mesyuarat agung khas (Umno) pindaan perlembagaan baru-baru ini sebulat suara memperakui Ismail Sabri sebagai 'poster boy' dan calon perdana menteri.

"Adat pertandingan pembangkang cuba memainkan isu bagi mengganggu kemaraan Umno," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS