Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap tiga penerbitan bertajuk ‘Chelsia Amanda (Berdasarkan Kisah Benar)’, ‘Heartstopper Volume 2’ dan ‘Cekik’ mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
KDN dalam kenyataan hari ini berkata Perintah Larangan itu masing-masing dikeluarkan melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 328, P.U.(A) 329 dan P.U.(A) 330 bertarikh 12 Oktober 2022.
Menurutnya perintah itu menetapkan sebarang pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini dilarang secara mutlak di Malaysia.
“Penerbitan ini dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan kemoralan,” katanya.
Menurut KDN kandungan penerbitan “Chelsia Amanda (Berdasarkan Kisah Benar)” memuatkan kandungan berunsur lucah dan tidak bermoral yang bertentangan nilai-nilai budaya serta norma hidup masyarakat Malaysia yang amat menitikberatkan kesopanan.
Kandungan penerbitan bertajuk “Heartstopper Volume 2” dan “Cekik” pula dilihat cuba mempromosikan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta berunsur lucah yang melanggar sensitiviti agama dan budaya di negara ini.
KDN berkata amalan hidup songsang jelas dilarang dan bertentangan dengan semua ajaran agama serta norma hidup masyarakat di negara ini.
Menurutnya adalah menjadi satu kesalahan sekiranya mana-mana orang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya hasil penerbitan larangan.
Mereka boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 8(2) Akta 301.
Orang ramai yang mendapati penerbitan itu masih diedarkan di pasaran boleh membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN sama ada di talian 03-88868047, faks 03-88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my.
- Bernama