Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Poster, bendera dirosakkan - Yeoh sedih, kata kami bukan orang kaya
Diterbitkan:  Nov 8, 2022 2:05 PM
Dikemaskini: 6:23 AM

Penyandang kersi Parlimen Segambut Hannah Yeoh memberi amaran tentang "kemarahan pengundi" berhubung vandalisme yang dilakukan terhadap kain rentangnya di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur.

Ahli parlimen DAP mengetengahkan perkara itu menerusi satu ciapan di Twitter hari ini.

"Kepada pihak yang melakukan ini - selamat berdepan dengan kemarahan pengundi di TTDI," katanya sambil memuatnaikkan beberapa gambar yang memaparkan sepanduk kempennya yang dirosakkan.

Calon Segambut itu seterusnya menggesa parti lawan supaya mengentikan permainan politik "kotor dan menjijikkan", dan bersaing secara bersih dan adil.

SPR telah menetapkan hari mengundi pada 19 Nov.

Polis buru lelaki rosakkan bendera, poster BN

Sementara itu, Bernama melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan dan sedang mengesan pelaku yang merosakkan bendera serta poster Barisan Nasional (BN) di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata kejadian itu berlaku di persimpangan Jalan Athinahpan dan jambatan Jalan Burhanuddin Helmi 1.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Ketua Pemuda BN Cawangan Lembah Kiara pada 7 pagi semalam.

"Pengadu dimaklumkan rakannya melalui WhatsApp berhubung kejadian itu sebelum ke lokasi bagi mengesahkannya dan mendapati tali yang digunakan untuk menggantung bendera parti telah dipotong selain poster yang digantung turut dirosakkan.

"Semakan polis mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) Pusat Pengurusan Pengangkutan Bersepadu (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di situ atau CCTV dari kediaman berhampiran yang memfokus ke arah lokasi kejadian," katanya.

Amihizam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan berkaitan jenayah khianat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Polis mengingatkan semua yang terlibat semasa Pilihan Raya Umum ke-15 supaya tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh mengganggu proses demokrasi dan mengingatkan penyokong masing-masing agar tidak melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau balai polis berdekatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS