Bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik, menggunakan kaedah pelbagai bahasa untuk menarik sokongan pengundi menjelang hari penentuan pada 19 Nov ini.
Dia yang kembali sebagai calon PH untuk kerusi parlimen Simpang Renggam menggunakan cara ala pelakon terkenal filem Tamil, Rajinikanth, untuk mengisi hantaran video TikTok sepanjang 30 saat.
Ia mula disiarkan sejak malam semalam untuk menarik pengundi agar memberi sokongan kepada PH demi masa depan pendidikan anak-anak mereka.
"Pendidikan adalah 'senjata' paling ampuh untuk mengubah nasib negara kita. Undilah Pakatan Harapan," katanya dalam bahasa Tamil.
Maszlee melakukan aksi itu dengan diiringi gerakan tangan berpusing yang menjadi salah satu imej popular Rajinikanth.
Isteri ahli politik itu, Hamidah May, kemudian menyambut kata-kata berkenaan - juga dalam bahasa Tamil - dengan turut menambah: "Simbol stail adalah Rajini, simbol pendidikan adalah Maszlee" dan diikuti dengan memainkan rakaman aksi Rajinikanth.
Dalam ulasan video itu, Maszlee berkata walaupun dia "bukan bos" seperti Sivaji (salah satu filem Rajinikanth), dia tetap mahu pengundi keluar mengundi pada 19 Nov ini.
"Anda semua mempunyai satu peluang yang cukup besar untuk jadi orang yang paling berkuasa pada19 Nov ini, lebih berkuasa daripada Sivaji The Boss.
"Undi Pakatan Harapan. Masa depan pendidikan negara di tangan anda," tulisnya.
Dua hari lalu Maszlee memuat naik video berlainan di TikTok. Kali ini dia bercakap dalam dialek Hakka untuk menggesa orang ramai kembali mengundi.
“Undi anda sangat penting untuk negara, satu pun tak boleh kurang,” katanya.
Ibu Maszlee yang memang berketurunan Cina turut muncul dalam video itu, menyuarakan permintaan yang sama kepada pengundi.
Dalam PRU ke-14 yang berlangsung pada 2018, Maszlee memperoleh majoriti 3,475 undi di Simpang Renggam dan menewaskan calon BN dan PAS dalam pertandingan tiga penjuru.