Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dilema Sg Buloh: Sokong Anwar jadi PM tapi tak mahu KJ tersingkir
Diterbitkan:  Nov 8, 2022 8:57 AM
Dikemaskini: 8:33 AM

PRU15 l Kubu kuat PKR Sungai Buloh di Selangor kini menjadi kerusi panas susulan tindakan BN yang menamakan Menteri Kesihatan sementara Khairy Jamaluddin sebagai calon untuk bertanding di sana.

Lawatan Malaysiakini ke Sungai Buloh menunjukkan bahawa ramai penyokong Pakatan Harapan kini dalam “dilema" kerana mereka menyokong presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri mereka tetapi pada masa yang sama tidak mahu melihat Khairy kalah.

Malah ada yang menjelaskan bahawa mereka akan lebih teliti dalam membuang undi mereka dan mungkin membuat keputusan berdasarkan "personaliti dan bukannya mengikut garis parti".

Bagi Khairy, dia cepat serasi dengan penduduk tempatan. Sebaik sahaja proses penamaan calon Sabtu lalu, dia menunggang motosikal dan melawat beberapa veteran Umno di Kampung Melayu Subang Tambahan.

Kampung yang terletak dalam daerah mengundi Pinggiran Subang itu pada PRU sebelum ini menyaksikan PKR memperoleh 1,170 atau 56.2 peratus undi. Dalam erti kata lain, ia pernah menjadi kubu kuat PKR. Sebagai perbandingan, MIC/BN hanya memperoleh 399 atau 19.16 peratus undi.

Menurut seorang pemimpin akar umbi Umno di kampung itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Shahrul, lawatan Khairy singkat tetapi berjaya menarik ahli parti yang tidak aktif untuk menyokongnya.

Shahrul

“Walaupun ini kerusi majoriti orang Melayu, secara tradisinya, ia ditandingi MIC, dan BN kalah berturut-turut selama tiga penggal.

“Namun Khairy yang bertanding kali ini dan, tiba-tiba seluruh Umno cawangan menjadi teruja dan jentera lebih bersemangat berbanding sebelum ini.

“Contohnya, saya terkejut apabila ramai ahli Umno menyertai kami dalam lawatan rumah ke rumah sebelum ini. Mereka bukan ahli jawatankuasa tetapi mereka menyertainya apabila dimaklumkan lewat malam tadi (Ahad),” kata Shahrul.

Ramai pengundi di Sungai Buloh merasakan Khairy telah dihantar ke kerusi "hitam atau gelap" ini kerana dia berani menentang presiden partinya Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, ini mungkin membantu Khairy menjarakkan dirinya daripada imej negatif yang terpalit dengan Umno/BN.

Seorang penyokong Umno yang memilih untuk tidak dikenali berkata dia berkempen untuk BN kerana saudara terdekatnya adalah seorang pemimpin Umno.

Namun, dia memilih untuk mengundi PH pada hari pengundian, dengan berkata “kita bebas memilih siapa. Skandal 1MDB (bekas perdana menteri) Najib Razak begitu teruk, jadi macam mana kita anak muda boleh terima BN?

“Ramai rakan sekerja saya akui mereka kecewa dengan BN… jadi saya fikir adalah baik Khairy bertanding di sini,” kata penyokong Umno itu.

Sementara itu, pengundi dari daerah mengundi berhampiran juga dalam dilema tentang siapa yang harus mereka sokong.

Ini amat ketara khususnya di kawasan di Kampung Kubu Gajah dan Paya Jaras Hiliryang undi PH dan BN hampir setanding.

Pada pilihan raya umum 2018, BN hanya kehilangan sekitar 200 atau 10 peratus undi kepada PH di dua daerah mengundi ini.

Sementara itu, seorang lagi pengundi, Kamarul Zaman, 57, dari Kampung Kubu Gajah, bersimpati dengan Khairy. Dia enyifatkan penyandang kerusi Parlimen Rembau itu sebagai menteri yang berkebolehan tetapi diletakkan di zon “mati”.

Pesara guru itu juga kelihatan tidak yakin tentang calon PKR R Ramanan, yang pernah terpalit dengan kes penipuan.

“Kita tidak boleh mengundi calon semata-mata berdasarkan partinya. Kita perlu melihat latar belakang calon juga."

Kamarul Zaman dan anaknya, Aufa

Anak Kamarul, Aufa, 30, yang merupakan seorang doktor di sebuah hospital awam, mengakui akan menyesal sekiranya Khairy kalah di Sungai Buloh.

“Golongan profesional seperti saya dalam dilema. Kami orang bandar yang menyokong Harapan, tetapi dari segi karisma dan pengalaman calon, kami lebih suka Khairy.

“Dia berani menentang presiden partinya sendiri,” kata Aufa.

Beberapa pengundi Cina yang ditemui juga berkongsi sentimen yang sama. Lim Siew Mei, 56, yang mengundi PKR pada tiga pilihan raya umum sebelum ini berkata dia kini teragak-agak kerana "PKR sangat huru-hara".

“Sebenarnya, Khairy tidak teruk... saya tidak pasti, susah nak pilih siapa. Tidak kira siapa yang saya undi, rasanya tidak kena,” keluh pendandan rambut dari Kampung Baru Sungai Buloh itu.

Ketika ditanya mengenai pandangannya tentang PKR, Lim berkata: "Saya tidak tahu bagaimana untuk jelaskan."

Naratif PH lebih besar

Parlimen Sungai Buloh memperlihatkan pertembungan tujuh penjuru antara BN, PH, Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gerakan Tanah Air (Pejuang) serta dua calon Bebas.

PH mempertarukan R Ramanan sebagai calon mereka Dia adalah bekas bendahari agung MIC.

R Ramanan

Ramanan meletak jawatan selepas Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur mendapati dia memperoleh RM5.5 juta secara tidak sah dengan mengemukakan surat palsu dalam kes sivil pada 2014.

Dia kemudian menyertai PKR.

Ramanan memberitahu Malaysiakini bahawa kes sivil itu hanyalah salah faham perniagaan dan telah diselesaikan secara baik.

Semasa kempen, PKR cenderung mengelak daripada menyebut personaliti Ramanan.

Sebaliknya, strategi kempen PH adalah pada naratif yang lebih besar seperti "undi PH, Anwar sebagai PM" atau "satu undi untuk KJ = satu undi untuk Zahid".

Namun, ini sukar diterima oleh pengundi Melayu.

Hanafi Abbas, 67, dari Paya Jaras Hilir berpendapat ini hanyalah retorik politik pemimpin PKR berdasarkan kepentingan peribadi.

“Itu kata pihak atasan politik, kita sebagai orang bawahanada pandangan berbeza. Mereka tidak berpijak di kampung kita, tetapi mahu kita tolak Khairy.

“Bagi kita, Khairy adalah pilihan baru. Dia bekerja keras di Parlimen dan dia bukan penakut dalam parti,” kata Hanafi.

Menariknya, juruteknik yang bekerja sendiri itu memilih Anwar sebagai perdana menteri, tetapi undinya mungkin tidak diberikan kepada Ramanan.

Hanafi Abbas

Malaysiakini menemu bual Hanafi sehari sebelum hari penamaan calon. Walaupun PKR telah mengumumkan Ramanan sebagai calonnya, Hanafi tidak menerimanya.

Sebaliknya, dia berharap agar calon baru dan berprofil tinggi akan diletakkan.

“(Undi saya) bergantung kepada siapa yang akan diturunkan PKR. Kita tidak tahu latar belakang Ramanan.

“Contohnya, seorang adalah calon menteri yang kita kenali, seorang lagi kita tak kenali. Siapa yang kamu undi?”

Di sebalik semua itu, kawasan dengan majoriti pengundi Cina dan India mungkin kekal sebagai kubu kuat PH, dengan beberapa pengundi menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap BN, terutamanya dengan skandal rasuah, kenaikan harga dan gangguan rantaian bekalan.

Seorang pemilik kedai berusia 37 tahun dari Kampung Baru Sungai Buloh, yang hanya mahu dikenali sebagai Chong, berkata: "Khairy tidak teruk, tetapi dia dari parti yang salah, dia pakai baju parti yang salah."

Sungai Buloh adalah kerusi campuran bandar, dengan 66 peratus Melayu, 22 peratus Cina, 11 peratus India manakal dua peratus lagi kaum-kaum lain. Pada PRU14, R Sivarasa dari PKR menang dengan majoriti 26,634 undi.

Meskipun Khairy berjaya mententeramkan penyokong BN di peringkat akar umbi, dan berkemungkinan menarik pengundi atas pagar PH di Sungai Buloh, namun masih sukar untuknya merobek kerusi itu memandangkan PKR telah tiga penggal berkubu di situ.

Lebih-lebih lagi, Sungai Buloh kali ini berdepan pertarungan tujuh penjuru, dengan pengaruh PAS/PN di Sungai Buloh tidak boleh dipandang enteng. Pada 2018, calon PAS memperoleh 16,997 undi, jauh lebih daripada undi MIC.

Ketika Khairy dan Ramanan berdepan pertarungan sengit, calon PAS Mohd Ghazali Md Hamin mungkin membuat kejutan. 19 November ini akan menjadi penentuannya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS