Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin senior PKR gesa Tian Chua tarik diri di Batu

PRU15 | Jurucakap pusat operasi pilihan raya PKR Perak, Lee Boon Chye menggesa bekas naib presiden PKR, Tian Chua menarik diri sebagai calon di Parlimen Batu serta-merta.

Lee yang juga bekas ahli parlimen Gopeng berkata, perjuangan politik tidak seharusnya berkisar mengenai kepentingan peribadi.

Justeru katanya, Tian harus mengisytiharkan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH), P Prabakaran jika dia serius mahu meneruskan perjuangan reformasi.

"Pertama - penyertaan beliau akan pecahkan undi dan memenangkan BN.

"Dalam perjuangan ini, kita berjuang tanpa gelaran YB.

"Saya join (PKR) sejak 1999 sehingga 2008 baru pertama kali menang sebagai ahli parlimen.

"Sekarang saya bukanlah YB tapi ini tidak bermakna tanpa gelaran YB tak boleh teruskan perjuangan. Saya harap Tian Chua tarik diri dan teruskan wadah perjuangan (melalui PKR),” tegasnya dalam sidang media di Ipoh hari ini.

Lee berkata PH mungkin berpeluang untuk menang sekali lagi dalam pilihan raya umum kali ini dan menjadikan presiden parti itu, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

"Matlamat ini belum tercapai dan kita perlu teruskan.

"PRU bukan mengenai individu menjadi YB, untuk Tian Chua, kalau dia masih percaya kepada perjuangan, dia perlu tarik diri serta merta dan beri sokongan kepada calon PH supaya terus menang di Batu.

“Ini seruan saya bukan setakat (dari) pihak parti tapi juga sebagai rakan lama," tambah Lee.

Bagaimanapun, mengikut Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, calon tidak dibenarkan menarik balik pencalonannya selepas jam 10 pagi pada hari penamaan calon.

Justeru, walaupun Tian mengisytiharkan untuk menarik diri, namanya tetap akan tertera di kertas undi.

Tian merupakan ahli parlimen Batu selama dua penggal dari 2008 hingga 2018 namun hilang kelayakan bertanding pada PRU2018 berikutan Mahkamah Tinggi Shah Alam mengenakan denda ke atasnya sebanyak RM2,000.

Ini menyebabkan Tian pada masa itu menyokong Prabakaran sebagai proksi PH dalam pilihan raya itu.

Prabakaran bagaimanapun menewaskan Tian bagi jawatan ketua cabang PKR Batu pada pemilihan parti itu Mei tahun ini.

‘Kenapa mohon maaf dengan Anwar saja?’

Ketika pihak media menyebut bahawa Chua telah memohon maaf kepada Anwar kerana menentang pemilihan calon PKR, Lee menjadi sedikit emosi.

"Dia tak sepatutnya minta maaf kepada Anwar saja tapi kepada semua pengundi Batu dan rakyat Malaysia yang menyokong perjuangan reformasi sejak dua dekad lalu.

"Yang ikut dia ke jalan - kena water canon, jalan hutan, pinggir pantai, pulau, gunung, masuk kampung setinggan - kawasan mana-mana pun.

"Kenapa kamu hanya minta maaf kepada Anwar?” soalnya.

Lee juga menggesa Tian Chua melihat gambaran yang lebih besar dan meletakkan kepentingan negara dan rakyat melebihi kepentingan peribadinya.

Terdahulu hari ini media melaporkan Chua memohon maaf kepada Anwar kerana bertanding sebagai calon bebas di Batu menentang calon daripada parti itu, P Prabakaran.

Tian berkata keputusannya itu bukan bersifat peribadi, tetapi untuk memastikan kesinambungan semangat reformasi di Batu.

Ini berlaku selepas presiden PKR itu berkata Chua akan dipecat secara automatik kerana bertanding sebagai calon bebas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS