Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi: K'jaan sementara tak boleh lulus kontrak ketika peralihan
Diterbitkan:  Nov 7, 2022 3:46 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa kerajaan sementara dalam usaha meluluskan projek bernilai berbilion ringgit dengan segera.

Rafizi berkata ia walaupun pekeliling yang dikeluarkan perbendaharaan menghalang kerajaan sementara memetarai sebarang komitmen kontrak atau aku janji yang memberi implikasi kewangan kepada kerajaan baru selepas PRU15.

"Dalam kesibukan kempen PRU15, rakyat mungkin tidak sedar bahawa kita berdepan risiko besar projek-projek bernilai berbilion ringgit diluluskan dan dianugerahkan secara cepat dalam tempoh kerajaan peralihan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Calon Parlimen Pandan itu berkata salah satu kontrak melibatkan Kementerian Alam Sekitar dan Air berhubung projek tebatan banjir di Melaka,

Dia mendakwa satu tender bernilai RM578.6 juta telah dianugerahkan kepada sebuah syarikat yang didakwanya sebagai kroni Umno.

Projek itu dilaporkan diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 14 Oktober lalu, empat hari selepas Parlimen dibubarkan.

Kontrak RM2 bilion?

Sementara itu, Rafizi mendakwa Kementerian Alam Sekitar dan Air juga dalam proses memberikan kontrak bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat sama, untuk kerja tebatan banjir di Sungai Langat 2.

Justeru, dia menggesa Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan dakwaan itu.

Malaysiakini telah menghubungi syarikat yang didakwa terlibat itu untuk mendapatkan respons mereka.

Pekeliling yang dimaksudkan Rafizi dikeluarkan pada 18 Oktober lalu.

Bagaimanapun pekeliling tersebut menyatakan kerajaan boleh meneruskan dasar dan projek pembangunan sedia ada, atau memeterai kontrak berhubung projek yang mana peruntukan telah pun diluluskan di Parlimen atau kerajaan sebelum Parlimen dibubarkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS