Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Calon kematian suami tidak boleh berkempen - Mufti Perlis
Diterbitkan:  Nov 7, 2022 2:37 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin berkata wanita yang menjadi calon pada pilihan raya umum (PRU) tetapi berada dalam tempoh edah susulan kematian suami, tidak boleh keluar untuk berkempen.

Menerusi satu hantaran di Facebook katanya, mereka wajib berada dalam edah selama empat bulan 10 hari.

"Keluar untuk kempen pilihan raya bukan keperluan hidup, yang mana jika dia tidak keluar maka hidupnya terjejas dan hidup seseorang tidak bergantung kepada hal itu, kerana jika dia tidak menyertai berkempen pilihan raya pun tidak menjejaskan keperluan asas hidupnya.

"Malah, orang lain juga tidak mendapat kesusahan kerana ketidakhadiran beliau berkempen," katanya.

Mohd Asri berkata demikian ketika mengulas berhubung hukum calon wanita dalam edah kematian suami keluar berkempen.

Ia difahamkan sebagai merujuk seorang calon BN Parlimen Padang Besar Zahida Zarik Khan yang dikatakan masih dalam tempoh edah selepas kematian suaminya pada Ogos lalu.

Zahida melalui video di media sosial semalam berkata dia membataskan pergerakan ketika berkempen kerana masih dalam tempoh edah selepas kematian suami.

"Dalam keadaan masih dalam edah, saya membataskan pergerakan diri ketika berkempen bagi mematuhi perintah syarak yang diajar kepada saya," katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook untuk memperkenalkan diri sebagai calon BN Parlimen Padang Besar.

Ketua Wanita Umno Padang Besar Asmaiza Ahmad dilaporkan berkata Zahida akan berkempen menggunakan media sosial. 

Zahida Zarik Khan

Mereka juga, katanya, akan mendapatkan pandangan ulama berhubung kempennya di kerusi itu.

Sementara itu dengan merujuk mengikut panduan al-Quran dan sunnah Mohd Asri berkata wanita dalam edah kematian boleh keluar rumah untuk keperluan dirinya yang tidak dapat dilunaskan melainkan terpaksa keluar rumah.

"Ini khususnya untuk urusan kerja bagi yang jika dia tidak keluar akan menggugat pendapatannya bagi meneruskan kehidupan. Begitu (juga) untuk perubatan dan keselamatan diri," jelasnya lagi.

Tambah Mohd Asri dalam konteks semasa hari ini, pilihan raya hanyalah perebutan kuasa bukan survival kehidupan seseorang.

Bahkan katanya, banyak pihak lain yang boleh melakukan hal yang sama dan tidak bergantung hanya pada orang tertentu sahaja.

"Namun, jika seseorang berada dia suatu tempat atau negara yang penyertaannya menentukan survival umat Islam atau keselamatan orang ramai, maka dia boleh keluar berkempen dalam konteks itu.

"Pun begitu seseorang calon wanita dalam edah kematian tetap boleh berkempen di rumahnya samada melalui orang yang hadir atau melalui media baharu dengan pelbagai teknologi yang ada.

"Adapun calon wanita di Perlis berkenaan telah pun menghubungi saya. Beliau memaklumkan kepada saya yang beliau akan mematuhi hukum hakam syarak berkaitan. Alhamdulillah, harapnya benar-benar sedemikian," kata Mohd Asri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS