Bekas naib presiden PKR Tian Chua memohon maaf kepada presiden parti itu, Anwar Ibrahim kerana bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Batu.
Ia selepas Anwar berkata Chua secara automatik dipecat dari PKR atas tindakannya itu.
"Saya benar-benar faham (perasaan Anwar), dan saya perlu minta maaf kepadanya atas tindakan saya. Saya tiada niat untuk provokasi dia, dan saya rasa kekecewaannya memang benar," katanya seperti dipetik The Vibes.
"Namun kami sudah bersahabat lama. Kami adalah komrad dan saudara dalam perjuangan.
"Saya rasa tak kira apa yang berlaku, apa kerja yang kita pilih dan tindakan yang kita ambil, ia tak beri kesan pada persahabatan kami dan sokongan saya terhadap nilai dan perjuangannya.
"Ini adalah persamaan yang kami kongsi. Kami mungkin berbeza dalam strategi, taktik atau ada kala dasar, di mana mungkin ada pertentangan tertentu, tapi kemampuan kami untuk melangkaui hal ini dan berkongsi visi yang sama akan terus wujud," katanya lagi.
Pada 5 November lalu, Anwar berkata mengikut dasar PKR, anggota parti yang bertanding sebagai calon bebas atau meninggalkan parti secara automatik dipecat.
Dia juga berkata Tian Chua yang merupakan veteran parti tidak seharusnya bertindak sedemikian.
Namun, Tian Chua berkata keputusannya itu bukan bersifat peribadi, tetapi untuk memastikan kesinambungan semangat reformasi di Batu.
"Jika anda semak dengan pengundi, ramai gembira yang saya sekurang-kurangnya beri pilihan kepada mereka untuk memilih bagi mengekalkan suara progresif di kerusi itu.
"Saya tak wakili diri sendiri, saya wakili aspirasi generasi Reformasi.
"Kami telah menyumbang dalam menumbangkan Umno dan menolak korupsi. Kita telah mencapainya, tapi saya fikir suara ini perlu kekal...," katanya lagi.
Tian Chua menjadi simbol Reformasi dengan gambarnya yang duduk di hadapan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang sedang bergerak menjadi imej yang sinonim dengan era itu.
Dia menjadi terpinggir dalam PKR selepas dilihat sebagai sekutu Azmin Ali, bekas timbalan presiden yang menjadi salah satu punca tumbangnya kerajaan PH pada 2020.
Dia merupakan ahli parlimen Batu pada 2008 hingga 2018 namun hilang kelayakan bertanding pada PRU tahun itu ekoran denda RM2,000 yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Bukan kem Azmin
Tian Chua juga menafikan dia merupakan sekutu dalam kem Azmin dan label terhadapnya itu adalah sesuatu yang bersifat cetek (simplistic).
"Sebabnya amat mudah. Sebelum itu Azmin menteri besar (Selangor) dan dia timbalan presiden. Kita baru saja berkuasa di persekutuan dan parti perlukan kestabilan.
"Saya tak setuju dengan sebarang cabaran terhadapnya (ketika itu) kerana ia akan menyebabkan parti tak stabil dan berpecah. Jadi saya dengan tegas berkata saya sokong dia.
"Saya tidak nafikannya. Tetapi untuk orang label saya sebagai (sebahagian) kem Azmin kerana itu...Saya rasa ia sangat tidak adil.
"Tak kira di mana mereka, sama ada masih bersama gerakan atau tidak, kami masih berkawan. Hubungan saya dengan Anwar, Timbalan Presiden Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail kekal sama," katanya lagi.