Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin janji peluang ekonomi, Zuraidi bangkitkan harga rumah tinggi

Kaedah kempen melalui pendekatan turun padang masih relevan di sebalik kepesatan perkembangan teknologi ketika ini. 

Penyandang kerusi parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah berkata, pengundi terutamanya golongan muda tetap melihat kepada sentuhan peribadi calon bertanding dalam menyantuni pengundi. 

“Perkara itu tidak boleh kita nafikan, walaupun memang ramai menggunakan laman sosial untuk berkempen, tapi akhirnya kita tetap kena berjumpa pengundi secara bersemuka. 

“Ini bermakna, walaupun kita sibuk (berkempen) dengan media sosial, pendekatan konservatif dengan melakukan kunjungan, berborak santai dengan pengundi masih perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui di Kuantan, hari ini. 

Saifuddin Abdullah

Kerusi Parlimen Indera Mahkota disandang Saifuddin Abdullah menyaksikan pertandingan empat penjuru pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15). 

Saifuddin yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dicabar Quek Tai Seong daripada BN, Zuraidi Ismail (Pakatan Harapan - PH) dan Mohamad Nor Sundari (Pejuang). 

Dalam pilihan raya umum lalu, Saifuddin menang dengan majoriti besar 10,950 undi (kira-kira 14 peratus), mengalahkan calon BN dan PAS.

Dia bagaimanapun ketika itu mewakili Pakatan Harapan (PH).

Ketika ditanya mengenai tawaran dia kepada pengundi Indera Mahkota, Saifuddin memberitahu, terdapat tiga fokus utama diberi perhatian jika dipilih sekali lagi sebagai wakil rakyat kawasan itu. 

Katanya, fokus pertama ialah mencipta peluang ekonomi kepada penduduk diikuti mewujudkan jaringan pendidikan bagi memudahkan pemadanan antara sekolah, pusat pengajian tinggi dan pemain industri. 

Fokus ketiga pula,menaik taraf kemudahan asas termasuklah usaha bagi mengatasi masalah banjir. 

“Tumpuan paling penting ialah usaha memulihkan ekonomi kerana kebanyakan daripada kita masih belum bangkit sepenuhnya selepas dua tahun dihantui Covid-19. 

“Saya fikir Indera Mahkota mempunyai potensi besar untuk menjadi Kota Ekonomi Digital memandangkan semuanya ada di sini. 

“Begitu juga dengan kemudahan seperti Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL), Pelabuhan Kuantan dan kita juga akan memiliki lapangan terbang antarabangsa,” katanya lagi. 

Dia bagaimanapun berharap satu debat membabitkan semua calon bagi kerusi parlimen Indera Mahkota dapat dianjurkan sebelum hari pengundian. 

Katanya, pengundi dapat menilai dan memahami aspirasi cuba diketengahkan setiap calon agar dapat membantu mereka membuat pilihan pada hari mengundi. 

“Saya ada dengar mengenai cadangan ini (penganjuran debat) dan kalau jadi (dianjurkan), saya sedia menyertai. 

“Itulah cara terbaik kepada semua (calon) membentangkan perancangan mereka kepada pengundi dan penduduk di Indera Mahkota,” katanya lagi. 

90 peratus belia tak mampu

Sementara itu, calon PH, Zuraidi ketika ditemui malam tadi pula berkata, kawasan Indera Mahkota sedang berdepan isu harga rumah yang terlalu tinggi. 

Katanya, dengan kadar gaji ditawarkan majikan ketika ini, hampir 90 peratus golongan belia tidak mampu memiliki kediaman sendiri. 

“Tidak mustahil jika kita gagal atasi masalah ini, dalam masa lima atau 10 tahun lagi, kebanyakan belia dan anak muda di Indera Mahkota hanya mampu menjadi penumpang saja, menumpang di kawasan sendiri. 

“Peluang pekerjaan ditawarkan juga tidak setimpal dengan gaji menyaksikan ramai yang berhijrah ke luar Pahang, jadi benda ini akan diberi perhatian khusus oleh saya jika menang,” katanya. 

Mengulas mengenai isu banjir kilat yang sering berlaku dalam kawasan Indera Mahkota, dia berkata satu kajian dan cadangan sudah diserahkan kepada kerajaan Pahang awal tahun ini, namun tidak mendapat maklum balas sehingga parlimen dibubarkan. 

“Saya tidak pasti sama ada mereka melihat atau tidak kertas cadangan itu, tapi sikap ini seolah-olah kerajaan Pahang tidak memandang serius masalah banjir yang sering dihadapi penduduk di sini,” katanya. 

Ketika ditanya jika dia bersedia untuk menyertai debat antara calon parlimen Indera Mahkota, Zuraidi berkata, buat masa ini dia mahu berkempen dan berjumpa seramai mungkin pengundi di kawasan itu. 

“Saya tidak ada masalah kalau nak berdebat, tapi sekarang ini saya mengutamakan program turun padang, berjumpa pengundi. 

“Soal berdebat ini, saya fikir elok kita serahkan kepada pimpinan yang lebih ‘senior’,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS