Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agenda LGBT: Asmuni ingatkan PAS - Islam larang tabur fitnah
Diterbitkan:  Nov 7, 2022 11:33 AM
Dikemaskini: 4:14 AM

Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi membidas Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang mendakwa Pakatan Harapan (PH), khususnya, pengerusinya Anwar Ibrahim mempunyai agenda LGBT dan mahu menghalalkan perkahwinan sejenis.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Asmuni berkata, calon calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi DUN Gunong Semanggol sepatutnya fokus terhadap masalah rakyat daripada menabur fitnah dan mengadudombakan rakyat.

“Sepatutnya beliau fokus mengenai isu-isu rakyat seperti isu ekonomi, harga barang, kemiskinan dan sebagainya dalam kempen-kempen beliau terhadap para pengundi dan bukannya fitnah dan adu domba.

“Sewajarnya kempen-kempen berbaur fitnah ini dihentikan dan agama Islam cukup melarang umatnya membuat fitnah kerana kesan kepada masyarakat cukup besar dan tindakan ini amat dikesali sama sekali.”

Razman membuat kenyataan itu semalam ketika menemui pengundi di pasar malam Tebuk Pancur.

Selain itu dia juga menuduh DAP mempunyai agenda komunis dan umat Islam di negara ini tidak seharusnya mengundi mereka.

"Yang paling teruk sekali - kalau kita bagi undi dia (BN) pakat Datuk Seri Anwar Ibrahim, pakat DAP untuk bentuk kerajaan.

“Ingat - undi DAP, undi BN bererti undi beri kuasa kepada DAP untuk membolehkan dia buat apa saja," dakwanya.

Kempenya itu disiarkan di Facebook secara langsung di akaun peribadinya. Bagaimanapun, video berkenaan telah dikeluarkan.

Mengulas lanjut, Asmuni berkata Amanah kesal dengan kempen berbaur fitnah itu yang telah mencemarkan perjalanan PRU15.

Sehubungan itu katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajar bertindak dengan menyiasat ucapan Razman menerusi video yang tular di media sosial itu.

“Saya amat kesal dengan video tular berkaitan ucapan berbaur fitnah calon Perikatan Nasional (PN) daripada PAS itu.

“Saya mengajak rakyat menolak calon-calon yang mengamalkan politik fitnah dan kebencian kerana ia tidak membawa apa-apa manfaat dan kebaikan pun kepada rakyat dan negara,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS