Paling Popular
Terkini

PRU15 | Kecemerlangan pentadbiran kerajaan Pahang diterajui Wan Rosdy Wan Ismail sejak Mei 2018 dilihat bakal menyukarkan mana-mana parti yang berniat untuk ‘merampas’ negeri ini daripada BN.

Menteri besar Pahang ke-15 itu juga dilihat mempunyai rekod tadbir urus yang cemerlang apabila buat julung kali dalam sejarah Pahang, negeri itu merekodkan kutipan hasil melebihi RM1 bilion tahun ini.

Tidak dapat dinafikan, masalah dalaman Umno dan BN sajalah bakal menentukan sama ada cubaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bertapak kukuh di bumi Mat Kilau itu menjadi kenyataan.

Selesai pengumuman calon BN pada 1 November lalu, secara umumnya Wan Rosdy cuba menampilkan seberapa ramai muka baru mewakili gabungan itu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Namun, perubahan dan penggantian beberapa nama dipercayai boleh memberi kesan tidak langsung kepada sikap pengundi di kawasan tertentu.

Sebagai contoh, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai, Norolazali Sulaiman tidak dicalonkan semula pada PRU15.

DUN Guai berada dalam kawasan parlimen Bera, parlimen yang kini disandang perdana menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob.

Kerusi itu digantikan dengan ketua wanita Umno Bera, Sabariah Saidin.

Walaupun dilihat seolah pertukaran biasa calon, tapi perlu diingat bahawa pada pilihan raya umum lalu, berlaku banyak ‘undi silang’ di kawasan DUN Guai dan menyaksikan jumlah majoriti diperoleh Ismail Sabri cuma 2,331 undi.

Untuk PRU15, Seramai 77,669 pengundi akan menunaikan tanggungjawab 19 November depan di parlimen Bera, termasuk 3,700 pengundi di Rejimen Ke-34 Artileri Diraja berhampiran Triang.

Jika ‘undi silang’ berlaku sekali lagi dalam PRU15 akibat ‘penyingkiran’ Norolazali, tidak mustahil sasaran Ismail Sabri memperoleh majoriti besar akan terjejas.

Bagi kerusi parlimen pula, Maran adalah antara kerusi ‘panas’ dan perlu diberi tumpuan.

Pertembungan antara Ketua Umno Maran, Shahaniza Shamsuddin dan penyandang, Ismail Abdul Muttalib memberi sedikit gambaran, berlaku masalah dalaman di kawasan itu.

Ismail menyandang kerusi parlimen Maran sejak 2004 melalui BN, sehinggalah namanya digugurkan dari senarai calon BN Pahang untuk PRU15.

Dia kemudiannya mengumumkan akan mempertahankan kerusi itu dan menyertai PN.

Selain Maran, kerusi parlimen Bentong yang sepatutnya menjadi kerusi ‘selesa’ untuk PH, turut dilihat bermasalah.

Ini selepas penyandangnya, Wong Tack turut bertanding sebagai calon Bebas, selepas DAP tidak mencalonkannya dan menggantikan dia dengan penyandang kerusi DUN Ketari, Young Syefura Othman.

Penyertaan Wong juga dapat memberikan sedikit kelegaan kepada calon BN, Liow Tiong Lai kerana ada kemungkinan berlaku pecahan undi dalam kalangan penyokong DAP.

Usaha PN untuk cuba menawan Pahang tidak mudah walaupun mereka membawa Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding di DUN Cheka (Lipis).

Kekuatan dan pengaruh Tuan Ibrahim saja, belum cukup untuk menggugat BN di Pahang.

Selepas penamaan calon selesai semalam, semua gabungan parti mempunyai peluang seimbang dan selebihnya, bergantung kepada kaedah kempen dilakukan mereka dalam tempoh 12 hari akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS