Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nadma: Waspada hujan berterusan di pantai timur Semenanjung
Diterbitkan:  Nov 6, 2022 7:08 PM
Dikemaskini: 11:29 AM

Hujan dijangka turun berterusan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, menurut ramalan cuaca yang akan berkuatkuasa pada 8 November hingga 11 November ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) hari ini mengeluarkan amaran tahap waspada (kuning) mengenai perkara itu.

Sehubungan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri (Nadma) mengarahkan supaya jawatankuasa pengurusan bencana peringkat negeri dan daerah diaktifkan.

Ini kata Nadma bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.

Nadma berkata jawatankuasa pengurusan bencana itu perlu memastikan setiap pusat pemindahan banjir dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan.

"Nadma melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

"NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa," kata agensi itu pada satu kenyataan hari ini.

Ribut petir, hujan lebat di pantai barat Semenanjung

Dalam perkembangan berkaitan, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir lebih kerap pada sebelah petang hingga malam yang dijangka berlaku di negeri-negeri di pantai barat Semenanjung bermula Selasa ini hingga 11 Nov.

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan negeri-negeri yang terlibat ialah Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model, European Centre for Medium-Range Weather Forecasts dan Global Forecast System, penumpuan angin dijangka berlaku di pantai timur Semenanjung dan barat Sarawak.

“Keadaan ini berpotensi menghasilkan hujan berterusan yang boleh membawa hujan lebat dan angin kencang di pantai timur Semenanjung pada 8 hingga 11 Nov ini,” kata badan kaji cuaca itu.

MetMalaysia menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS