Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Banjir kilat yang melanda Tanjong Karang di Selangor awal pagi hari ini mengalihkan tumpuan kempen beberapa calon pilihan raya.

Bencana itu yang menyaksikan banyak rumah dan pasar basah Tanjong Karang ditenggelami air banjir sedalam kira-kira satu meter menyorot kepayahan yang dihadapi penduduk setempat.

Pengundi di P95 Tanjong Karang telah lama meratapi isu tebatan banjir yang beberapa kali gagal menghadang air melimpah.

Banjir kilat pagi tadi menyebabkan sebuah keluarga di Kampung Tok Adam terpaksa meninggalkan rumah mereka, dengan anggota bomba datang menyelamatkan seorang nenek berusia 70 tahun yang tinggal di situ.

Malaysiakini mendapat tahu bahawa ramai penjual di pasar basah Tanjong Karang turut terjejas teruk, dengan sekumpulan penjual ayam mengalami kerugian ribuan ringgit selepas ternakan mereka yang ditempatkan di pasar itu mati lemas.

Menurut mangsa banjir yang ditemui Malaysiakini, ini adalah kejadian kedua tebatan itu runtuh selepas kejadian pertama pada bulan lepas.

“Kejadian sebelum ini pada 11 Okt lalu tetapi, apabila ia berlaku, kami sudah berada di pasar, jadi kami berjaya menyelamatkan kebanyakan ayam kami.

“Tetapi pagi tadi, banjir berlaku sebelum pembantu saya tiba untuk memulakan tugas hari itu, jadi apabila tiba di sini, ia sudah dinaiki air.

“Secara keseluruhan, lebih 300 ekor ayam yang diletakkan di bahagian bawah bakul mati. Saya rasa jumlah kerugian kira-kira RM8,500 termasuk milik rakan saya,” kata Lee Kee Ker, seorang penjual ayam.

Penjual ayam Lee Kee Ker, 54, bersama haiwan ternakannya yang mati.

Lelaki berusia 54 tahun itu, yang mewarisi perniagaan daripada bapanya, menyatakan harapan untuk melihat pihak berkuasa mencari penyelesaian jangka panjang bagi masalah tebatan banjir.

Dia berkata penghadang yang lebih kukuh perlu dibina di tebing sungai, bukannya hanya menambah lebih banyak tanah.

Perkara sama turut dikongsi oleh rakan penjual ayam Ahmad Syukri Ahmad Sofian, 27, yang berkata sesiapa yang memenangi kerusi parlimen Tanjong Karang harus membantu menyelesaikan masalah mereka.

“Saya harap masalah ini dapat diselesaikan. Kami akan sangat berterima kasih jika ini dapat dilakukan.

“Tolong usahakan perkara ini, sudah beberapa kali banjir berlaku. Saya pernah bangkitkan isu ini (kepada pihak berkuasa) sebelum ini, tetapi ia masih berlaku,” katanya.

Penjual ayam Ahmad Syukri Ahmad Sofian, 27.

Syukri berkata mereka yang menjadi wakil rakyat harus bekerja untuk orang ramai dan membantu mereka, dan bukan hanya muncul semasa pilihan raya.

Bapa kepada empat anak Ahmad Redo Ahmad Salleh, 39, yang keluarganya dipindahkan dengan bantuan anggota bomba pagi tadi berkata, dia hanya dapat menyelamatkan beberapa barang keperluan termasuk dokumen penting memandangkan air naik dengan cepat.

Penjual pakaian kanak-kanak itu masih bimbang dengan air pasang besar seterusnya - yang diramalkan berlaku lewat petang ini dan awal pagi esok.

Mangsa banjir Ahmad Redo Ahmad Salleh, 39.

“Selagi penghadang tidak dibaiki sepenuhnya, besar kemungkinan banjir berlaku setiap kali air pasang.

“Penghalang itu tidak lagi kukuh. Saya berharap pihak berkuasa akan mempertimbangkan untuk membuat yang baru di atas tanah yang lebih kukuh. Tolong bantu kami. Kami sudah penat menjadi mangsa banjir,” katanya.

Janji calon

Susulan kejadian itu, beberapa calon dilihat melawat tebatan banjir dan rumah penduduk kampung yang terjejas dan menyampaikan sedikit bantuan.

Antaranya, calon Muda Siti Rahayu Baharin dan calon BN Habibah Mohd Yusof.

Kedua-dua mereka, ketika ditemui Malaysiakini semasa lawatan itu, berikrar akan menjadikan isu tebatan banjir sebagai fokus sekiranya mereka diberi mandat menjadi ahli parlimen Tanjong Karang.

“Masalah seperti ini memerlukan penyelesaian segera. Saya tahu bahawa pihak berkuasa sedang menyelesaikan masalah ini, tetapi ini mesti dipercepatkan.

“Ini musim tengkujuh dan banjir mungkin melanda lagi. Saya percaya setiap pemegang kepentingan mesti duduk dan mencari jalan.

“Jika saya menjadi ahli parlimen di sini, saya pasti akan belajar dan melakukan yang terbaik untuk cuba menyelesaikan isu ini secepat mungkin. Kerana saya telah melihat dengan mata kepala sendiri kesan daripada masalah ini, bagaimana nasib rakyat terjejas,” kata Siti Rahayu, atau lebih dikenali di kalangan penyokongnya sebagai Cikgu Ayu.

Calon Muda untuk Tanjong Karang Siti Rahayu Baharin

Sementara itu, Habibah berkata dia dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong telah menghubungi kontraktor yang terlibat agar penghadang itu segera dibaiki.

Sambil melahirkan rasa simpati terhadap penduduk kampung dan perniagaan yang terjejas akibat banjir pagi tadi, Ketua Wanita Umno Tanjong Karang itu berkata dia akan menjadikan isu itu sebagai keutamaannya.

“Saya tidak menafikan bahawa tebatan ini sudah dua kali gagal hadang air melimpah. Menurut kontraktor, dia telah melakukan yang terbaik termasuk memasang cerucuk yang kuat.

“Tetapi saya percaya kita mungkin memerlukan penyelesaian baru. Kontraktor mungkin perlu memilih teknologi yang lebih moden.

“Sekiranya saya diberi mandat sebagai ahli parlimen Tanjong Karang, isu ini akan menjadi keutamaan saya. Bersama-sama dengan Adun kawasan ini, kita akan bekerjasama untuk memastikan tebatan ini tidak akan runtuh lagi,” katanya.

Calon BN untuk Tanjong Karang Habibah Mohd Yusof.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS